fbpx
Sebahagian pemain bergambar kenangan ketika menyertai Kejohanan Golf Trofi Mazda di TPGCC, Rawang baru-baru ini.

Kejohanan Trofi Mazda catat sejarah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA – Cabaran Golf Trofi Mazda 2026 mencatatkan sejarah baharu apabila seramai 188 pemain menyertai kejohanan itu berbanding sebelum ini dengan sebahagian lagi terpaksa ‘menggigit jari’ apabila berada dalam senarai menunggu.

Angka itu diperoleh sebulan sebelum tarikh tutup penyertaan sekali gus menyaksikan perlawanan berprestij di Kelab Golf Tasik Puteri, Rawang itu diiktiraf.

Kejohanan anjuran Bermaz Motor yang menghimpunkan wakil korporat, pengamal media, pencipta kandungan dan pempengaruh golf itu bertujuan memperkukuhkan hubungan antara jenama Mazda dengan komuniti sukan tersebut.

Kejohanan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Ben Yeoh dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Low Yat merangkap Pengarah Urusan TPGCC, Datuk Low Gee Teong.

Cabaran 18 lubang itu menyaksikan peserta berentap di tiga padang golf utama iaitu Putera, Puteri dan Tasik, dengan had handicap ditetapkan di bawah 24 bagi kategori lelaki dan 36 bagi kategori wanita.

Selain menguji kemahiran peserta di padang, kejohanan itu turut menawarkan empat hadiah menarik menerusi cabaran hole-in-one, termasuk sebuah Mazda CX-30 baharu di Lubang 8 (Puteri) dan Lubang 17 (Putera).

Dua lagi cabaran hole-in-one menawarkan hadiah tajaan Adidas bernilai RM15,000 masing-masing di Lubang 14 (Putera) dan Lubang 24 (Tasik).

Selepas tamat pertandingan, para peserta diraikan dalam majlis makan tengah hari dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Puteri Hall TPGCC yang baru dinaik taraf.

Peserta turut menerima beg cenderamata eksklusif mengandungi baju-T khas, beg serbaguna untuk kereta dan barangan mandian serta topi Mazda, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah kategori khas dan cabutan bertuah bernilai tinggi.

Penganjuran Cabaran Golf Trofi Mazda 2026 turut mendapat sokongan penaja bersama iaitu Adidas dan F&N.

Pada kejohanan kali ini, pemain handikap satu, Wan Zaidil Afthar Ishak muncul juara gross selepas mencatat skor 67 nett. Manakala juara Kategori A menjadi milik pemain handicap lapan, Razid Sukiran dengan skor 69 nett, diikuti pemain handikap sembilan, Ahmad Suhaimi Mohd. Yassin (70 nett) dan pemain handikap lima, Lim Chee Kwang (70 nett OCB).

Sementara itu, bagi kategori B pula, pemain handikap 16, Fauzul Hazwan Khalid dinobatkan sebagai juara selepas merekod skor 71 nett, diikuti Roslan Ismail (71 nett) dan Fazlan Mohd. Desa (72 nett).

Bagi kategori senior pula, Kamaruzaman Abdullah dengan skor 73 nett dan Nur Azreen Mohd. Zin pula muncul juara kategori wanita dengan skor 72 nett. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN