KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah, 48, Ibrahim sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk menganjurkan tayangan tertutup filem Konspirasi bersama badan bukan kerajaan (NGO), Empati yang berlangsung semalam.
Menurut Sarimah, majlis tayangan tertutup itu sudah lama dirancang ketika filem Konspirasi baru ditayangkan lagi.
“Kita dah lama rancang sebenarnya untuk buat tayangan secara tertutup ini bersama Empati, kelab peminat dan anak-anak felda.
“Saya tak kisah melabur tempah pawagam untuk anjurkan majlis sebegini. Ini adalah inisiatif saya menerusi syarikat saya Sarimah Ibrahim Sdn. Bhd.
“Selain meraikan anak-anak Felda, kawan-kawan dan keluarga, ada mesej yang boleh disampaikan melalui filem ini.
“Sekurang-kurangnya majlis ini memberi pendedahan tentang Empati sendiri. Ramai yang bertanya tentang Empati dan peranannya terhadap masyarakat,” katanya ketika ditemui pada tayangan eksklusif filem Konspirasi bersama Empati dan Generasi FELDA Lurah Bilut, di GSC Mid Valley, di sini, semalam.
Bercakap mengenai filem Konspirasi, ditanya sama ada dia sudah mendapat penjelasan sewajarnya daripada penerbit tentang penarikan filem itu dari tayangan di pawagam, kata Sarimah dia masih belum mendapat sebarang penjelasan.
“Tidak ada. Jadi saya tak boleh nak jawab. Itu juga sebab saya bertanya di permulaannya.
Tetapi bila kita tidak mendapat jawapan, kita kena hormat. Bukan tempat kita untuk terus bertanya dan memberi tekanan,” jelasnya.
Terdahulu filem Konspirasi arahan Ghaz Abu dihentikan tayangan pada 28 Mei atas permintaan pihak penerbit sendiri iaitu Elepfilm Entertainment Sdn Bhd.
Filem yang turut dibintangi oleh Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Shiqin Kamal, Alicia Amin, Amir Nafis dan Rusdi Ramli itu mula ditayangkan di 120 skrin pawagam seluruh negara bermula 21 Mei lalu.
Pun begitu, tayangan filem berkenaan di Singapura tetap diteruskan seperti biasa. – KOSMO! ONLINE














