fbpx
JORDAN

Piala Dunia 2026: Jordan enggan kibar bendera putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAN FRANCISCO – Jordan enggan membiarkan kekalahan 1-3 kepada Austria pada aksi pembukaan Kumpulan J Piala Dunia 2026 menjejaskan keyakinan mereka untuk terus mencabar slot ke pusingan kalah mati.

Meskipun pulang tanpa sebarang mata, skuad yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia itu berjaya mencuri tumpuan apabila memberi tentangan sengit kepada Austria sebelum tewas pada penghujung perlawanan.

Penyerang Jordan, Ali Olwan percaya pasukannya sebenarnya berhak memperoleh sesuatu daripada perlawanan tersebut berdasarkan corak permainan yang dipamerkan sepanjang 90 minit.

Menurutnya, Jordan membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap jadual meskipun turun sebagai pasukan bukan pilihan dalam saingan Kumpulan J.

“Kami tidak layak kalah dalam penampilan sulung kami di Piala Dunia yang cukup bersejarah buat Jordan. Kami masih mempunyai dua lagi perlawanan dan berdasarkan apa yang saya lihat daripada pasukan ini, kami masih berupaya untuk layak ke pusingan seterusnya,” katanya.

Keyakinan sama turut disuarakan ketua jurulatih Jordan, Jamal Sellami yang menyifatkan keputusan perlawanan itu tidak menggambarkan usaha sebenar yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

Sellami berkata, dia berbangga dengan komitmen dipamerkan pemain-pemain Jordan ketika berdepan pasukan yang dibarisi beberapa bintang berpengalaman di Eropah.

“Saya fikir keputusan ini tidak mencerminkan usaha yang dilakukan oleh pasukan Jordan, tetapi secara peribadi saya sangat gembira dan bangga dengan persembahan mereka,” ujarnya.

Menurutnya, ramai menjangkakan Jordan akan bermain secara bertahan, namun pasukannya berjaya membuktikan mereka mampu tampil lebih berani dan proaktif sepanjang perlawanan.

“Tiada siapa menjangkakan kami akan bermain dengan begitu berani, begitu proaktif dan mampu memanfaatkan peluang yang ada,” katanya.

Dalam masa sama, Sellami mengakui pengalaman serta kualiti dimiliki Austria akhirnya menjadi faktor pemisah, malah percaya keputusan mungkin berbeza jika penyerang utama, Yazan Al-Naimat tidak diketepikan akibat kecederaan lutut sejak Disember lalu.

Jordan kini berada di tangga ketiga kumpulan dan masih berpeluang menghidupkan harapan untuk mara ke pusingan seterusnya apabila bakal berdepan Algeria sebelum menutup saingan kumpulan menentang juara bertahan, Argentina. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN