BENTONG – Pemandu lori treler yang menghempap sebuah kereta dalam kemalangan tragis yang mengorbankan empat sekeluarga semalam didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, berdasarkan ujian saringan air kencing terhadap mendapati lelaki berumur 40 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.
“Tangkapan telah dibuat terhadap pemandu treler berkenaan pada pukul 4 pagi ini.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan hari ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam Kosmo Online! melaporkan empat maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler muatan habuk kayu di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu menyaksikan kereta jenis Honda City remuk teruk selepas dihempap treler muatan habuk kayu itu.
Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah A.Halim Hasoon, 55; Rozita Buang ,68; Norbahyah A.Halim, 26 dan seorang kanak-kanak perempuan Nayla Afya Aizat Faizal yang berumur setahun.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan laluan KLK di Kilometer 37 hingga Kilometer 88 menjadi antara laluan paling berbahaya di Malaysia dengan rekod purata empat kemalangan dilaporkan berlaku setiap hari. – KOSMO! ONLINE














