SUBANG JAYA – Tindakan seorang wanita warga Iran dipercayai melanggar lampu isyarat merah mengakibatkan seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan di Jalan Lagoon Selatan di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.30 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang dipandu wanita berusia 32 tahun dan sebuah motosikal Yamaha Y16 yang ditunggang lelaki tempatan berusia 24 tahun.
“Siasatan mendapati Proton Saga yang dipandu dari arah Jalan Lagoon Selatan menuju ke Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah.
“Tindakan itu menyebabkan kenderaan berkenaan melanggar sebuah motosikal Yamaha Y16 yang sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau di persimpangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan pinggang sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, pemandu kereta tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan yang boleh mengancam nyawa,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya di talian 017-3012621. – KOSMO! ONLINE














