fbpx

Transformasi Tok Bali bakal pacu ekonomi Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memperuntukkan sejumlah RM297.7 juta bagi pembangunan kawasan Tok Bali, Kelantan yang dianggap berpotensi memacu transformasi ekonomi negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan tersebut meliputi RM200 juta bagi pembangunan Taman Industri Tok Bali; RM67.7 juta untuk membangunkan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali serta RM30 juta bagi naik taraf Jalan Tok Bali-Pasir Puteh.

Menurut beliau, pelaburan komited daripada pihak swasta di Tok Bali sehingga Jun 2021 pula berjumlah RM1.75 bilion dan sebanyak RM329 juta daripadanya telah direalisasikan.

“Bagi memastikan projek ini bakal memacu ekonomi dan aktiviti perdagangan rentas sempadan, Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali kelmarin bersetuju supaya satu rumusan strategi dapat disediakan bagi mengenal pasti langkah pelaksanaan pembangunan kawasan Inland Port Pasir Puteh bersama Pelabuhan Komersial Tok Bali.

“Ia melibatkan agensi seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, PLANMalaysia, Petronas dan sektor swasta bersama dengan ECERDC,” katanya.

Mesyuarat yang diadakan secara maya itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mustapa menjelaskan, perancangan membangunkan Tok Bali akan turut memberi penekanan kepada sektor minyak dan gas, pembuatan, logistik dan perkhidmatan serta sektor tradisi seperti industri perikanan.

Jelasnya, kesemua sektor ini berupaya mempelbagaikan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri serta memberi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan membuka peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat.

“Kekangan pandemik tidak menjadi penghalang kepada kerja pembangunan yang berlangsung di Tok Bali dan kerajaan yakin projek yang telah dirancang bakal mengurangkan impak Covid-19 di Tok Bali yang masih dilihat sebagai destinasi pelaburan menarik di Kelantan,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI