fbpx

Rice ikrar sekat dominasi trio The Azzurri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RICE bersedia memberikan aksi terbaik untuk memastikan England berjaya menewaskan Itali pada aksi final nanti. - AFP

LONDON – Pemain tengah England, Declan Rice berikrar untuk menampilkan aksi 10 kali lebih baik menjelang perlawanan akhir, Euro 2020 menentang Itali di Wembley awal pagi esok.

Dia sedar skuad The Three Lions akan berdepan cabaran sukar, lebih-lebih lagi pada bahagian tengah padang berdasarkan senarai pemain yang dimiliki skuad kendalain Roberto Mancini itu.

Menerusi gandingan Marco Verratti, Nicolo Barella dan Jorginho, Itali menunjukkan penguasaan di bahagian tengah dalam setiap perlawanan, sekali gus memudahkan pasukan mereka me­lancarkan serangan ke arah pintu gol lawan.

Bagaimanapun, England juga tidak kurang hebatnya apabila aksi yang dipamerkan Rice dan Kalvin Phillips pada kejohanan kali ini mendapat pujian selain dianggap antara gandingan terbaik dimiliki England.

“Itali memiliki pemain tengah terbaik pada Euro kali ini. Saya kenal Jorginho ketika beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun akan bertemu buat pertama kali dengan Verratti dan Barella.

“Mereka mampu menggerakkan bola dengan baik dan ia akan jadi senjata Itali pada perlawanan akhir nanti. Kami sentiasa tegaskan, bahagian tengah adalah posisi yang sangat penting dalam setiap perlawanan.

“Saya beri jaminan kami akan bekerja 10 kali lebih keras berbanding pasukan Itali. Kami sudah bersedia untuk berikan segala-galanya kerana bukan mudah sampai ke tahap ini,” kata Rice yang merupakan pemain West Ham United.

Pada masa sama, pemain berusia 22 tahun itu tetap berjaga-jaga dengan rekod yang dimiliki Itali apabila The Azzurri masih belum tewas dalam 33 perlawanan setakat ini.

“33 perlawanan tanpa kalah hanya boleh dilakukan oleh pasukan berkelas dunia. Kami semua tahu ia akan jadi satu perlawanan yang sangat sukar berdasarkan rekod mereka selain dibarisi pemain-pemain terbaik.

“Selain itu, mereka juga memiliki faktor lain yang mampu membuatkan kami berada dalam bahaya. Sekarang kami hanya perlu percayakan diri sendiri dan cuba memenangi perlawanan itu nanti,” ujar Rice. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI