fbpx

Amirudin cadang sektor ekonomi, industri di PKPD kekal tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri mencadangkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan itu disyorkan beliau dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ini berikutan matlamat pelaksanaan PKPD bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum dicapai.

“Oleh itu, hanya sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.

Amirudin turut menjelaskan cadangan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.

Beliau menegaskan jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD yang menyumbang kepada kes kumulatif berjumlah 1,346 kes serta saringan kontak rapat daripada kes positif di PKPD.

Semalam, Selangor terus merekodkan 4,152 kes harian positif Covid-19 di negara ini.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi di kawasan yang dikenakan PKPD di Selangor bermula Rabu lalu.

Sektor yang dibenarkan adalah sektor elektrik dan elektronik serta rantaiannya; sektor aeroangkasa (penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan); sektor mesin dan peralatan yang khusus kepada pengeluaran produk kesihatan dan makanan; dan syarikat pembuatan makanan dan minuman utama.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI