fbpx

Pasukan Liga M terpalit PKPD perlu alternatif baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. GHANI mengingatkan pasukan Liga M yang terpalit di zon PKPD perlu mencari venue baharu perlawanan bagi saingan Liga Super dan Liga Premier.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) berharap lapan pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang terpalit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mencari alternatif baharu selepas saingan diberi ‘lampu hijau’ oleh kerajaan untuk kembali bersambung pada 24 Julai depan.

Ketua Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, semua pasukan dibenarkan menjalani latihan menerusi Camp Based Training tetapi pasukan-pasukan yang berada di zon PKPD perlu mencari venue baharu perlawanan bagi saingan Liga Super dan Liga Premier.

Sebagai rekod, lapan pasukan Liga M terdiri daripada Kuala Lumpur City, PDRM FC, Selangor FC dan Selangor 2, Petaling Jaya City, UiTM FC ,Skuad Projek FAM-MSN serta Negeri Sembilan FC terjejas dengan arahan PKPD yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Buat masa ini, lapan pasukan tidak dapat menggunakan venue tuan rumah mereka disebabkan PKPD dan kita tidak tahu bila tempoh PKPD ini akan ditamatkan.

“Pihak MFL telah meminta agar pasukan terbabit bersedia dengan perancangan awal mencari stadium baharu bukan di kawasan PKPD yang tidak digunakan oleh mana-mana pasukan seperti Stadium Manjung, Perak dan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Dengan situasi cukup mencabar disebabkan Covid-19 ketika ini, saya berharap agar semua pasukan bekerjasama dalam memastikan kelangsungan Liga M musim ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ghani turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberi lampu hijau buat Liga M kembali dilangsungkan selepas lebih dua bulan berehat.

“Meskipun PKP masih dilaksanakan, MFL mendapat pertimbangan baik daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meneruskan baki saingan Liga M dengan SOP yang ketat.

“Selain itu, ada beberapa pindaan jadual tidak dapat dielakkan bagi meminimumkan pertembungan venue dan bagi mengelak daripada pasukan-pasukan mengharungi jadual agak padat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI