HASRATNYA mula bergerak aktif ketika diri berusia 19 tahun adalah demi menurunkan berat badan, tetapi siapa sangka kini dia akhirnya menempa sejarah negara sebagai wanita pertama Malaysia yang menamatkan perlumbaan cukup ekstrem Ultraman.
Kejayaan bersejarah itu dicapai oleh Ann Pow, 30, di Ultraman Australia 2026 baru-baru ini sekali gus membuktikan kemampuan wanita tempatan di pentas sukan ketahanan dunia.
Wanita kelahiran Melaka ini membuktikan kehebatan luar biasanya apabila berjaya tiba di garisan penamat ultraendurance triatlon Ultraman yang melibatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 10 kilometer (km), berbasikal (421km) dan larian maraton berganda (84km).
Bagi Ann, gelaran bersejarah yang kini melekat pada namanya bukan sekadar satu pencapaian peribadi, sebaliknya membentuk keyakinan yang baharu dalam dirinya.
“Saya sentiasa suka mencabar diri sendiri dan melepasi had keupayaan saya, jadi sebagai seorang yang berjaya menamatkan acara ini membuatkan saya berasa bangga dan pada masa sama juga memberikan saya lebih banyak keyakinan dalam diri,” ujar Ann.
Sebelum mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang menamatkan Ultraman, nama Ann Pow sudah pun terkenal dalam komuniti sukan ketahanan melalui pencapaiannya bertaraf antarabangsa.
Dia sebelum ini pernah membuat penampilan di pentas sukan dwitahunan serantau selaku atlet negara dalam acara duatlon di Sukan SEA 2022. Selain secara rasminya memegang gelaran sebagai Wanita Malaysia Terpantas dalam sejarah penganjuran sukan Ironman (Malaysia’s Fastest Female Ironman) pada tahun 2023.
Bukan itu sahaja, profil sukan Ann diperkukuhkan lagi dengan rekod luar biasa apabila berjaya menamatkan perlumbaan bertaraf global iaitu ‘Ironman Kona World Championship’ di Hawai pada tahun sama.
Rantaian kejayaan ini membuktikan kemuncak kepada pengorbanan dan dedikasi berterusan yang telah dipupuk sejak bertahun-tahun lamanya.
Bercerita mengenai latar belakang dirinya, Ann yang kini menetap di Kuala Lumpur merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya selain mempunyai tiga orang abang lelaki.
MENARIKNYA, di sebalik kelincahan fizikal, latar belakang keluarga Ann langsung tidak melibatkan dunia sukan.
Mengimbas zaman persekolahannya, Ann sering kali menjadi individu pertama yang akan disingkirkan sewaktu sesi pemilihan sukan kerana dianggap tidak mempunyai bakat semula jadi.
“Sejujurnya pada waktu itu saya tidak mempunyai sebarang perasaan emosi atau terkilan apabila disingkirkan.
“Saya datang daripada latar belakang keluarga yang sangat biasa, jadi apabila tidak terpilih, saya menganggap ia adalah satu perkara yang normal,” katanya tenang.
Penolakan pada awal usia itu pun begitu tidak mematikan semangatnya, sebaliknya menjadi api pembakar semangat yang tersimpan kemas dalam diri.
Dari situ, dia nekad melakukan larian kecil sejauh 4km yang bermula pada usia 19 tahun demi menurunkan berat badan.
Sesiapa pun tidak menyangka, niat asal untuk mengubah penampilan fizikal itu akhirnya bertukar menjadi cinta mendalam terhadap sukan ketahanan (endurance), sekali gus mengubah persepsi orang sekeliling terhadap keupayaannya.
“Dulu saya tidak pernah terfikir mampu menjadi ‘seseorang’ dalam bidang ini. Saya selalu percaya bahawa individu yang memenangi podium adalah mereka yang sememangnya sudah kuat bersukan sejak kecil lagi.
“Namun, persepsi itu berubah sepenuhnya apabila jurulatih triathlon saya ada bertanyakan sama ada saya berminat untuk menyertai sesi pemilihan ke Sukan SEA. Dari detik itulah, perjalanan saya berubah daripada sesuatu yang biasa menjadi sangat luar biasa,” jelasnya.
Berbicara mengenai persiapan diri ke perlumbaan Ultraman itu, Ann memperuntukkan masa sekitar tiga hingga empat bulan latihan khusus bagi membina ketahanan fizikal dengan latihan mingguan mencecah antara 12 hingga 21 jam seminggu.
Jangka masa yang singkat itu memerlukan fokus tidak berbelah bahagi bagi memastikan tubuhnya bersedia menerima tekanan fizikal yang ekstrem merentasi tiga disiplin sukan yang berbeza.
“Saya tidak melihat jadual latihan yang padat ini sebagai satu pengorbanan kerana saya betul-betul cintakan corak kehidupan sekarang.
“Personaliti saya juga seorang yang 100 peratus ‘introvert’, hanya mampu mendapatkan semula tenaga dengan cara meluangkan masa bersendirian. Jadi, saya langsung tidak kisah untuk latihan berjam-jam seorang diri,” jelasnya yang perlu membahagikan masa latihan dua kali sehari.

Katanya lagi, fasa latihan bersendirian yang memakan masa berjam-jam itu sebenarnya memberikan ruang untuk dirinya menikmati kesunyian dengan cara melayan fikiran secara bebas.
Bagaimanapun, statusnya sebagai seorang introvert tidak bermakna dirinya menolak kehadiran orang luar.
Ann menegaskan bahawa dia sangat gemar bertemu dan meluangkan masa bersama-sama individu yang berfikiran positif serta mampu memberikan inspirasi dalam kehidupan seharian.
Bercerita mengenai cabaran terbesar sepanjang tiga hari perlumbaan Ultraman di Australia, Ann mengakui detik paling sukar berlaku pada hari terakhir ketika acara ultramaraton sejauh 84km ekoran otot hamstring dan buku lalinya sudah mengalami kecederaan akibat daripada kayuhan basikal pada hari kedua.
Kecederaan itu memberikan tamparan hebat memandangkan disiplin larian sepatutnya menjadi bahagian yang paling dikuasainya.
“Pada 50km pertama semuanya masih boleh dikawal, tetapi selepas itu sakit buku lali menjadi semakin kritikal sehingga saya langsung tidak mampu lagi untuk berlari di laluan menurun bukit. Setiap kali berhenti berjalan dan cuba mula berlari semula, sakitnya tidak tertanggung,” katanya.
Meskipun berasa sangat tidak berdaya, Ann enggan mengangkat bendera putih demi membalas pengorbanan kru sokongan utamanya iaitu Elaine, Afif, dan Tobek yang sanggup terbang jauh dari Malaysia dan Sydney ke Queensland untuk menjadi sukarelawannya sepanjang perlumbaan.
Tugas sebagai kru sokongan bukanlah satu kerja yang mudah kerana mereka perlu sentiasa mengikuti atlet, menyediakan keperluan nutrisi tepat pada waktunya, menguruskan strategi masa serta memberikan sokongan moral tanpa henti.
Menurut Ann, kejayaan ini adalah milik bersama kerana tanpa komitmen luar biasa daripada krunya, mustahil untuk dia menjejakkan kaki ke garisan penamat dengan selamat.
Restu dan sokongan padu turut diterima daripada keluarga yang sentiasa menjadi penguat semangatnya.

Bagaimanapun, perasaan bimbang oleh ahli keluarganya tidak dapat dielakkan memandangkan sukan lasak ini mempunyai risiko keselamatan yang tersendiri.
Namun, kebanggaan mereka jelas terpancar apabila mereka kerap menceritakan tentang kejayaan dan pencapaian sukan Ann kepada rakan-rakan serta saudara-mara yang lain.
Selain pengorbanan tenaga dan emosi, pengurusan kewangan juga amat penting baginya. Ann bagaimanapun sangat bersyukur kerana perjalanan sukan lasaknya mendapat tajaan separa daripada beberapa pihak bertanggungjawab.
Pada masa yang sama, sebagai seorang pempengaruh sukan sepenuh masa, Ann turut menjana pendapatan melalui pelbagai kempen sukan serta kolaborasi kreatif bersama pelbagai jenama produk terkemuka di pasaran.
Tambah mengagumkan, selepas berjaya mengharungi ujian fizikal di Ultraman, Ann sekali lagi membuktikan stamina luar biasanya apabila menyertai satu lagi perlumbaan larian (trail race) hanya selepas empat hari acara di Australia itu tamat.
Menjelaskan mengenai keputusan tersebut, Ann menyatakan bahawa dia sentiasa membahagikan masa penyertaannya kepada dua fokus iaitu perlumbaan utama (A-race) yang disasarkan secara kompetitif, serta perlumbaan biasa yang disertai semata-mata untuk merasai kemeriahan suasana komuniti sukan.
Walaupun terpaksa mengharungi larian tersebut dalam keadaan kecederaan buku lali yang belum pulih sepenuhnya kesan daripada acara Ultraman, Ann memilih untuk mengambil pendekatan santai tanpa meletakkan sebarang tekanan untuk mengejar masa.
Bagi dirinya, penyertaan tersebut memberikan kepuasan yang tinggi dan dia langsung tidak menyesalinya.
Apabila ditanya mengenai figura yang menjadi sumber inspirasi, Ann menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai seorang idola khusus yang spesifik dalam hidupnya.
Sebaliknya, inspirasi hariannya datang daripada pemerhatian terhadap orang-orang biasa di sekelilingnya yang gigih menjalani kehidupan mengikut impian masing-masing tanpa mengeluh.
Dia amat mengagumi individu yang bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, namun masih mampu membahagikan masa bersama keluarga di samping gigih mengejar cita-cita peribadi.
Kini, selepas berjaya menamatkan acara Ultraman, Ann memasang impian untuk terus meneroka pelbagai cabang sukan baharu dan mencabar had limitasi dirinya ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Dia mahu membuktikan bahawa usia 30-an bukanlah penghalang untuk seorang wanita terus aktif, kompetitif dan berani mengejar cita-cita mereka.
“Tiada manusia yang sempurna. Kadang-kadang, anda akan terkejut dengan diri sendiri apabila menyedari bahawa anda sebenarnya jauh lebih kuat daripada apa yang difikirkan.
“Anda tidak akan pernah tahu apa yang mampu dilakukan selagi tidak berani mencuba. Sukan telah mengajar saya mengenali potensi sebenar diri,” akhirinya penuh inspirasi.














