fbpx

Tujuh inisiatif KBS untuk penggiat, pemain sukan termasuk belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEZAL MERICAN melawat salah sebuah fasiliti sukan yang terpaksa ditutup sementara ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

PETALING JAYA – Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu telah memberi nafas baharu kepada penggiat dan pemain industri sukan.

Menerusi pengumuman itu, bantuan one-off sebanyak RM3,000 akan diberikan kepada setiap operator serta pengusaha fasiliti sukan dan rekreasi komersial.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bantuan menerusi Geran Prihatin Industri Sukan (GPIS) ini akan memanfaatkan kira-kira 6,000 buah syarikat dan perniagaan berdaftar.

“Cadangan bantuan one-off ini sebenarnya telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sejak awal lagi. Saya amat berterima kasih dengan iltizam PEMULIH ini dan kita mengharapkan kesemua pengusaha dapat menikmati GPIS.

“Bagi mendapatkan dana GPIS, pemain industri boleh menghantar permohonan melalui laman web khas GPIS bermula 5 Julai 2021. Inisiatif GPIS ini melibatkan dana RM18 juta,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Reezal Merican menjelaskan, bagi memastikan segala usaha, ikhtiar dan strategi yang diumumkan Perdana Menteri sampai kepada semua, pihaknya akan mewujudkan Sekretariat Prihatin Kementerian Belia dan Sukan (SPIKE).

Beliau berkata, SPIKE akan menjadi unit yang responsif dan memberikan maklumat segera mengenai pelaksanaan segala inisiatif dan ikhtiar kerajaan. Kita akan sedaya upaya membantu pengusaha industri,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Reezal Merican memberitahu, bagi membantu kelangsungan hidup warga belia, generasi muda serta penggiat sektor sukan dan rekreasi, KBS turut memperkenalkan beberapa inisiatif di peringkat kementerian.

Katanya, selain GPIS yang diumumkan kerajaan, KBS turut melaksanakan moratorium bagi pemain industri sukan yang mempunyai kekangan komitmen dengan institusi kewangan.

“KBS akan membantu menyediakan ‘surat pengesahan pihak kementerian’ bagi kemudahan moratorium kepada mereka yang terjejas.

“Peminjam individu sama ada B40, M40 mahupun T20 dan juga usahawan mikro hanya perlu memohon kepada pihak bank bagi mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik.

“Moratorium ini juga telah dipanjangkan kepada perindustrian kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas, termasuklah pengusaha industri sukan dan rekreasi,” ujarnya.

REEZAL MERICAN (tengah) melawat Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur bulan lalu.

Tambah beliau, KBS juga akan meneruskan insentif potongan khas cukai kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan dengan pengurangan sewa sehingga 30 peratus kepada peniaga dalam tempoh enam bulan.

“Insentif sewaan ini terpakai kepada fasiliti sukan dan rekreasi di Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) dan Impact Integrated.

“Selain itu, KBS turut mengenakan insentif pengurangan sewaan fasiliti sukan dan rekreasi di bawah kendaliannya pada kadar 50 peratus sehingga hujung tahun dan kedua-dua inisiatif ini melibatkan peruntukan RM12 juta,” ujarnya.

Tambah beliau, KBS juga telah memanjangkan cadangan pelaksanaan inisiatif pengurangan bayaran lesen perniagaan kepada operator sukan untuk pertimba­ngan Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta semua kerajaan negeri.

Seterusnya, Reezal Merican memaklumkan, pihaknya akan memberi keutamaan kepada pemain industri sukan dalam pengambilan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) dan sebagai permulaan 1,000 slot akan disediakan.

“Inisiatif ini menyediakan peruntukan sebanyak RM6 juta dan ada antara sukarelawan ini sudah ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil serta mengikut lokasi tempat kediaman.

“Kerajaan juga telah mengumumkan lanjutan Program Subsidi Upah 4.0 (PSU 4.0) dengan subsidi sebanyak RM600 untuk tempoh empat bulan bagi membantu pengusaha sukan membayar gaji pekerja,” katanya.

GPIS akan dapat membantu kelangsungan operasi bagi operator dan pengusaha fasiliti sukan serta komersial ekoran kekangan kewangan disebabkan pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN

Di samping itu ujarnya, Perdana Menteri sebelum ini juga telah mengumumkan bantuan kehilangan pendapatan sebanyak RM500, walaupun bantuan ini tidak besar, tetapi ia cukup membantu kepada mereka yang terjejas.

Tambah beliau, inisiatif lain adalah Skim Pembiayaan Industri Sukan (SPIS) yang mana sebelum ini diperuntukan RM20 juta, namun semasa pengumuman PEMULIH, kerajaan telah memaklumkan tentang tambahan dana RM1.1 billion menerusi program pembiayaan mikro kredit.

Jelasnya, dengan dana tambahan itu, ia dapat membantu pengusaha industri sukan berstatus mikro dan PKS yang tidak dapat beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mendapatkan semula modal kembali beroperasi.

“KBS juga melaksanakan Program Vaksinasi Industri Sukan (Sportivac).

“Sebagai permulaan, pemain industri sukan yang berdaftar dengan sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) akan diberi keutamaan.

“Inisiatif terakhir KBS adalah memperkenalkan lima khusus berkaitan sukan secara percuma dan ia akan dikendalikan sendiri oleh pihak agensi dan badan berkaitan di bawah seliaan KBS,” terangnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI