KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap kebajikan atlet sebagai faktor utama dalam memastikan pembangunan sukan negara terus berada pada landasan terbaik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus terhadap kesejahteraan atlet perlu didahulukan berbanding penganjuran majlis atau acara bersifat mewah.
“Dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar, semua pihak perlu mengamalkan langkah penjimatan termasuk mengurangkan acara berunsur pesta dan pembaziran.
“Kalau ada lebihan peruntukan, ia mesti disalurkan kepada atlet, bukannya untuk acara gemerlapan atau pameran semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu pernah dibincangkan bersama Sultan Selangor dan kerajaan negeri termasuk keperluan mengurangkan program bersifat keraian bagi memberi keutamaan kepada pembangunan sukan serta kebajikan atlet.
Tambah beliau, kemudahan latihan yang lebih baik, tempat penginapan selesa dan sokongan berterusan kepada atlet merupakan elemen penting untuk melahirkan kejayaan dalam arena sukan.
“Saya sudah lama bersama dunia sukan dan melihat bagaimana kebajikan atlet kadang-kadang menjadi perkara nombor dua.
“Sedangkan jika mahu jayakan sukan negara, kebajikan atlet mesti menjadi faktor nombor satu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta persatuan sukan kerana terus komited menggerakkan pembangunan atlet walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Menurutnya, semangat dan kekuatan dalaman atlet jauh lebih penting berbanding kemewahan penganjuran sesuatu acara. – KOSMO! ONLINE














