fbpx

PNS kini dikenali sebagai Pernas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pertukaran akronim dan logo Perbadanan Nasional Bhd. daripada PNS kepada Pernas diyakini dapat memperkukuhkan kedudukan agensi itu sebagai peneraju pertumbuhan industri francais di Malaysia.

Penjenamaan semula itu sebahagian strategi untuk memberi gambaran lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan Pernas dalam industri francais, selain turut menangani isu kekeliruan jenama terdahulu dengan organisasi kerajaan lain.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Pernas memainkan peranan penting dalam membangunkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menceburi perniagaan francais mampu milik agar lebih ramai usahawan menyertai bidang tersebut.

“Industri francais merupakan salah satu sektor utama selain daripada koperasi dan PKS dalam memberi impak penting serta menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ia dilihat sebagai model perniagaan pilihan usahawan memandangkan francais mempunyai sistem perniagaan yang mudah diikuti dan berkesan dalam membangunkan usahawan tempatan.

“Saya yakin industri ini dapat membantu mencapai sasaran kementerian untuk melahirkan 100 jutawan setahun dalam kalangan PKS,” katanya dalam satu kenya­taan semalam.

Industri francais telah berkembang pada tahap yang membanggakan dengan peningkatan nilai jualan tahunan seba­nyak 17.3 peratus kepada RM13.3 bilion tahun lalu, berbanding RM11 bilion pada 2019.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 1,077 syarikat francais berdaftar, termasuk 68 syarikat francais tempatan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan kini beroperasi di 70 buah negara.

Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd. Edris berkata, sejak 2004, pihaknya telah mengeluarkan pembiayaan hampir RM1.3 bilion kepada lebih daripada 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan.

“Selaras dengan penjenamaan semula ini, Pernas akan terus agresif membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan termasuklah menerusi pelancaran dua projek baharu, iaitu Projek Xcelerator dan Projek Be Your Own Boss (BYOB) pada awal tahun ini dengan sasaran melahirkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI