POKOK yang tumbuh meliar di sekeliling rumah kampung mampu menjadi titik perubahan hidup seorang wanita sehingga berjaya membina empayar produk kecantikan dan perawatan alternatif bernilai jutaan ringgit.
Itulah perjalanan luar biasa yang dilalui oleh pengasas jenama Amniqlo, Nur Amni Mohd. Asri yang berasal dari Kampung Gong Tengah, Pasir Puteh, Kelantan.
Wanita berusia 36 tahun itu nekad meninggalkan kerjaya sebagai jurutera dalam industri minyak dan gas di Kerteh, Terengganu demi mengejar ‘sesuatu’ yang lebih dekat dengan jiwanya.
Dia mahu membantu orang ramai melalui rawatan holistik berasaskan alam dan spiritual.
Cerita Nur Amni, segalanya bermula kira-kira lima tahun lalu apabila dia mengusahakan butik pakaian secara kecil-kecilan, namun perniagaan itu tidak bertahan lama kerana sifatnya bermusim.
“Daripada butik pakaian itulah saya berbincang dengan suami untuk ubah haluan. Kami nampak ramai orang mengalami gangguan, tetapi sukar mencari perawat. Dari situ saya mula serius dalam rawatan alternatif,” katanya ketika ditemu bual K-Wanita baru-baru ini.
Suaminya, Mohd. Asri Mohd. Jusoh, 50, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam perubatan Islam menjadi pencetus inspirasi.
Rentetan itu, mereka membina pusat rawatan ruqyah untuk membantu pesakit yang mengalami gangguan sihir, santau, masalah saraf serta ketidakseimbangan dalaman tubuh.
Melihat keperluan tinggi dalam kalangan masyarakat, Nur Amni mula mengkaji bahan semula jadi yang berpotensi membantu rawatan itu.
Berbekalkan latar belakang dalam kejuruteraan kimia serta pengalaman penyelidikan di Jepun, dia menggabungkan ilmu sains dan amalan ruqyah dalam menghasilkan produk sendiri.
Daripada situ, lahir produk pertama iaitu minyak gemunggal (kelor) daripada pokok gemunggal atau Moringa oleifera yang terkenal sebagai ‘superfood’.
“Gangguan sihir ini kadang-kadang memberi kesan pada kulit. Orang nampak kusam, tak bermaya. Jadi, saya hasilkan minyak ini untuk bantu dari segi luaran dan dalaman,” jelasnya.
Produk tersebut mendapat sambutan luar biasa di media sosial dengan hampir 200,000 unit terjual dalam tempoh singkat.
Namun, Nur Amni tidak berhenti di situ. Selepas mendapati ada pengguna yang memerlukan alternatif lain, dia mendalami pula kajian perubatan tradisional Jawa dan menemui potensi tebu hitam atau Saccharum officinarum.
“Dalam kajian itu, tebu hitam dikatakan mampu ‘menarik’ unsur negatif seperti santau. Saya sendiri pernah diuji dengan gangguan, dan dari situ saya faham keperluan pesakit,” ujarnya.
Hasil kajian bertahun-tahun, dia memperkenalkan minyak tebu hitam yang diperkaya dengan 17 jenis herba, selain produk sokongan seperti gel mandian, garam bukit dan rangkaian ‘aura’ bagi memberi fokus kepada keseimbangan dalaman serta keyakinan diri.
Keunikan produk Amniqlo terletak pada proses pembuatannya yang teliti.
Menggunakan teknik ‘cold press’, setiap ramuan diperam sehingga setahun sebelum dipasarkan bagi memastikan kualiti dan keberkesanan terbaik.
Kini, produk Amniqlo bukan sahaja mendapat tempat di pasaran tempatan, malah menembusi Brunei dan Singapura dengan sokongan perawat di luar negara.
Lebih membanggakan, Nur Amni berjaya mencapai jualan mencecah kira-kira RM20 juta dalam tempoh lima tahun sejak 2022, sekali gus membuktikan keberanian mengambil risiko mampu mengubah nasib seseorang.
Dalam pada itu, dia juga sedang menyiapkan sebuah kilang bernilai RM600,000 di Jerat Semata, di pinggir bandar Pasir Puteh yang dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun ini.
Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Nur Amni mengakui pernah berdepan skeptikal keluarga apabila meninggalkan kerjaya profesional.
“Emak dan ayah hantar belajar jauh-jauh, tiba-tiba saya berniaga di media sosial. Mula dengan kereta Proton Saga lama, ayah pun marah. Tapi saya percaya proses,” katanya.
Kini, Nur Amni bukan sahaja membantu pesakit mendapatkan rawatan, malah memberi peluang pekerjaan dan berkongsi rezeki dengan ahli keluarga.
“Jangan malu untuk bermula. Orang nak tengok sejauh mana kita bertahan, bukan secepat mana kita berjaya,” ujarnya.
Katanya, kejayaan sebenar bukan sekadar angka jualan, sebaliknya kemampuan membantu orang ramai mendapatkan kembali keseimbangan hidup.














