fbpx

Bukan mengamuk sebab ibu dicucuk vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video berdurasi 30 saat menunjukkan seorang lelaki mengamuk di Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor, Tumpat yang kini tular di media sosial.

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan video tular di media sosial yang mengatakan bahawa seorang lelaki mengamuk selepas ibunya telah disuntik vaksin di Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, video yang tular itu merupakan video yang dirakam dan telah tular pada 5 Julai tahun lalu dan kini dikesan tular sekali lagi sejak kelmarin.

Katanya, isu sebenar dalam kes melibatkan seorang lelaki yang berkain pelikat itu adalah kerana dia tidak berpuas hati selepas ibunya telah dikehendaki menjalani ujian darah.

Ujarnya, ujian itu perlu dijalankan selepas mendapati ibunya menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Isu kali ini dikaitkan dengan vaksin oleh netizen meskipun kata-kata lelaki dalam video tersebut tidak difahami oleh mereka.

“Seterusnya, ramai membuat andaian bahawa amukan lelaki itu berpunca daripada doktor telah menyuntik vaksin kepada ibunya, namun wanita berkenaan menolak. Ada juga yang mengatakan bahawa lelaki itu mengamuk kerana tidak mendapat vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaini, pemeriksaan JKNK mendapati, lelaki dalam video itu merupakan pesakit Bipolar Affective Disorder dan mendapat rawatan di Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

“Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap lelaki berkenaan selepas dia mengamuk dan membaling sebiji batu-bata ke arah cermin tingkap bilik rawatan kecemasan dan bilik terapi metadone.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut. Polis telah menahan lelaki itu dan siasatan lanjut telah dijalankan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang lelaki berkain pelikat mengamuk di sebuah klinik kesihatan sejak beberapa hari lalu.

Lelaki itu dilihat menghempas meja dan memaki orang awam dalam dialek Kelantan yang berada di situ sebelum berlalu pergi dengan menunggang motosikal. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI