KAMPAR – Pembinaan Hospital Kampar baharu perlu disegerakan sebagai alternatif hospital sedia ada telah berusia lebih 80 tahun yang memerlukan kos penyelenggaraan tinggi.
Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A.Sivanesan berkata, Hospital Kampar sedia ada telah berusia lebih 80 tahun dengan sebahagian besarnya merupakan struktur asal.
“Proses pengambilan tanah bagi 11 buah tapak untuk tujuan pembinaan hospital Kampar baharu di atas tapak di Kampung Changkat Baharu dengan keluasan 10.52 hektar telah selesai.
“Perbicaraan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (JKPTG) selesai pada 15 Mei 2026 dan borang I diserah pada 22 Mei 2026 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan ke Hospital Kampar di sini hari ini.
Katanya lagi, KKM dalam proses pembayaran pampasan dan dijangka selesai dalam pertengahan Jun ini.
“Seterusnya borang K dikeluarkan dan tapak sah milik kerajaan. Pihak kerajaan akan menyelesaikan proses pemberimilikan menjelang bulan depan.
“Saya akan bawa isu ini kepada Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad) kerana tidak perlu hospital sedia ada dibaiki berulang kali kerana faktor usia dan fizikalnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














