fbpx

Allahyarham Haziq pasang impian ke Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARBAWI (tengah) dan Allahyarham Haziq (dua dari kanan) bersama pasukan memanah kebangsaan ketika menyertai Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

KUALA LUMPUR – Jurulatih memanah kebangsaan, Muhammad Marbawi Sulaiman mendedahkan, Allahyarham Haziq Kamaruddin tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ketika menjalani latihan terakhir di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 12 Mei lalu.

Marbawi menjelaskan rutin latihan hariannya bersama Haziq, 27, diadakan dalam keadaan biasa dan Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan malah gigih menjalani latihan untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

Tegas Marbawi, dia menerima berita pemergian Haziq pada 9.30 pagi tadi selepas dikatakan jatuh pengsan di kediamannya sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang.

“Tiada sebarang perubahan besar yang kita lihat pada Haziq ketika latihan terakhir pada 12 Mei lalu. Selepas itu kita berehat dan Haziq meminta pulang untuk beraya bersama isterinya.

“Saya amat terkejut dengan pemergian Haziq kerana Allahyarham sempat sempat berkongsi ucapan hari raya dalam WhatsApp. Apa yang pasti Haziq tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Sudah pasti pemergian Haziq secara mengejut ini memberi kesan kepada rakan-rakan seperjuangannya yang akan menjalani latihan dan seterusnya ke Berlin, Jerman bulan depan,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.

Dalam pada itu, Marbawi turut menjelaskan, Haziq telah menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19 pada 4 Mei lalu bersama atlet podium yang lain.

“Kita ketika ini sedang menunggu laporan seterusnya dan kita berada di Kajang untuk menanti jenazah Allahyarham,” ujarnya.

Allahyarham pernah beraksi pada Sukan Olimpik London (2012), Rio de Janeiro (2016) dan meletakkan sasaran ke Tokyo dalam acara berpasukan.

Allahyarham juga mahu mengikuti jejak langkah rakan sepasukan, Khairul Anuar Mohamad yang terlebih dulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas menduduki tempat kedua Kejohanan Dunia di Belanda tahun lalu.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI