MELAKA – Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Semabok-Bukit Katil berhampiran lampu isyarat Bukit Bayan di sini dikejutkan dengan kejadian tanah mendap yang berlaku secara tiba-tiba pagi tadi sehingga menyebabkan dua lorong terpaksa ditutup demi keselamatan.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu melibatkan kawasan mendapan seluas kira-kira empat meter panjang dan lapan meter lebar di laluan FT264 Seksyen 3.4, sekali gus menjejaskan struktur jalan serta kelancaran trafik dari arah Bukit Katil ke Semabok.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada paip utama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) berdiameter 600 milimeter yang pecah akibat kerja pemasangan kabel gentian optik menggunakan kaedah Horizontal Directional Drilling (HDD) oleh pihak ketiga.
“Untuk makluman, kejadian sinkhole ini disebabkan paip SAMB berdiameter 600 milimeter yang pecah akibat kerja-kerja HDD fiber optik oleh pihak ketiga.
“Akibat kejadian itu berlaku hakisan tanah di bawah permukaan jalan sehingga menyebabkan struktur jalan mendap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, sebagai langkah keselamatan, dua lorong dari arah Bukit Katil ke Semabok ditutup sementara sehingga kerja pembaikan selesai dilaksanakan.
Ujarnya lagi, pemantauan berterusan dan pengurusan trafik sementara telah dilaksanakan di lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Pihak SAMB sedang menjalankan kerja pembaikan paip yang dijangka mengambil masa kira-kira 10 jam sebelum kerja penurapan semula jalan dilaksanakan.-KOSMO! ONLINE.














