Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akhirnya mencapai matlamat untuk membuat perjanjian damai dengan Iran serta menepis tekanan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum kesan buruk gangguan bekalan bahan api global menjadi tidak terkawal.
Pakar-pakar berkata, impak serius akibat penutupan Selat Hormuz dapat dilihat bermula bulan ini apabila kitaran terakhir kapal-kapal tangki yang bergerak dari selat itu selesai dan simpanan minyak mentah di sebilangan negara mula kehabisan.
Amerika Syarikat turut menerima tempias daripada kenaikan harga minyak dunia apabila harga petrol di negara kuasa besar itu turut melonjak.
Umum mengetahui bahawa harga petrol atau diesel yang tinggi tidak berhenti di situ. Ia merebak kepada sektor lain seperti makanan, pengangkutan dan banyak lagi perkhidmatan.
Trump sedar beliau bakal berdepan pilihan raya separuh penggal pada November ini. Beliau tidak boleh kehilangan Parlimen atau Kongres kepada pembangkang iaitu Parti Demokrat.
Pentadbiran di mana Presiden daripada parti lain sedangkan Parlimen dikuasai pembangkang khususnya di Amerika akan menyaksikan pentadbiran negara tidak lancar dan lemah.
Lebih buruk, ahli-ahli Dewan Perwakilan dan Senat mungkin bersatu untuk mengundi memecat beliau.
Trump sedar perkara ini dan mahu perang dengan Iran segera ditamatkan walaupun Amerika dilihat kalah dalam konflik tersebut.
Namun, masalah utama yang beliau hadapi adalah kedegilan musuhnya, Iran dan ‘sahabat karibnya’ iaitu Netanyahu.
Iran mahukan Israel berhenti menyerang Lubnan dan berundur sebagai syarat untuk menandatangani perjanjian damai dengan Amerika.
Israel pula mahu mara lebih jauh di Lubnan sebagai cita-cita menubuhkan empayar ‘Greater Israel’ dan memerlukan sokongan Amerika Syarikat.
Baru-baru ini, Netanyahu tidak mengendahkan ‘rayuan’ Trump supaya tidak melancarkan serangan ke atas Lubnan terutamanya Beirut.
Israel juga tidak mahu melihat Amerika Syarikat memeterai perjanjian damai dengan Iran.
Israel hanya akan berpuas hati jika nasib Iran menjadi seperti Iraq.
Namun, rakyat Amerika sekarang enggan lagi berperang dan ekonominya tidak dapat menyerap impak perang besar-besaran.
Trump kini berada di persimpangan sama ada meneruskan pentadbiran dengan merealisasikan agenda MAGA seperti dijanjikan semasa beliau berkempen, atau terus membiarkan tumpuan terganggu oleh cita-cita sahabatnya, Netanyahu.














