fbpx
Dua pelajar tahfiz Muhammad Khairin (kiri) dan Iris Intishar (kanan) bersama keluarga angkat masing-masing merupakan antara 23 remaja Malaysia yang berjaya menamatkan Program Pertukaran Pelajar KL-YES di Amerika Syarikat selama enam bulan baru-baru ini.

‘Keluarga angkat sanggup pandu 1 jam demi bekalan makanan halal saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI seorang yang dibesarkan dalam persekitaran Islam yang kuat di Terengganu, kehidupan seharian Iris Intishar Norzelan dipenuhi dengan suasana ilmu agama serta didikan yang menekankan akhlak dan nilai-nilai Islam yang kukuh.

Sebagai seorang pelajar tahfiz yang bersekolah di Maahad Tahfiz Negeri Pahang, remaja perempuan berusia 18 tahun itu melalui rutin pembelajaran yang berteraskan al-Quran serta pembentukan sahsiah yang berdisiplin.

Berbekalkan asas yang begitu kukuh itu, anak bongsu daripada lima beradik itu nekad melangkah keluar dari dunia yang sudah sebati dengannya, berani meninggalkan zon selesa demi menyertai program pertukaran pelajar ke California, Amerika Syarikat (AS).

Menurut Iris Intishar, pengalaman tinggal bersama keluarga angkat berbangsa Sepanyol dan beragama Kristian membuka matanya terhadap kepelbagaian budaya, sekali gus menjadikannya lebih terbuka dan memahami perbezaan cara hidup masyarakat.

“Pengalaman tinggal bersama Puan Destiney Hernandez memberi saya peluang untuk melihat acara keagamaan di gereja Katolik dan membuatkan saya lebih menghargai perbezaan agama.

“Keluarga angkat saya juga memelihara anjing. Pada awalnya saya agak kekok, tetapi saya mula menyesuaikan diri dengan mengasingkan pakaian solat dan memakainya dengan teratur setiap kali solat.

“Sepanjang enam bulan pengalaman ini, saya tidak mengalami sebarang diskriminasi, malah kami saling memahami dan belajar antara satu sama lain,” katanya kepada K-Remaja.
Iris Intishar ditemui sempena majlis sambutan kepulangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyertai Program Pertukaran Pelajar Kennedy-Lugar Youth Exchange and Study (KL-YES) di AS selama enam bulan.

Majlis dianjurkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dengan kerjasama Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia, bertempat di Hotel Mercure Shaw Parade, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mereka telah bertolak ke AS pada Januari lalu dan pulang ke tanah air pada bulan ini.

Beberapa tetamu kehormat turut hadir iaitu Kaunselor Diplomasi Awam di Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Morgan O’Brien; Pengarah Kebangsaan Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia, Kuhan Kandiah Chelvanathan; Pegawai Bahagian Profesionalisme Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia, Rossheta Abdul Rahman; Pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Idayuwati Abdullah @ Ab Rahman; serta Penasihat Penglibatan Awam di Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Nur Farizan Zulkifli.

Program pertukaran pelajar kali ini disertai seramai 23 peserta yang meliputi 19 orang Melayu, tiga orang Cina dan seorang etnik Melanau.

Berkongsi mengenai persekitaran sekolah, Iris Intishar berkata, dia mudah berkawan kerana masyarakat di sana bersikap mesra dan perkara itu mendorongnya untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti sosial.

Selain itu, dia turut berpeluang mendaki di Sequoia National Park, memancing dan berkhemah di Balch Park, serta mengunjungi destinasi pelancongan terkenal seperti Disneyland Resort.

Namun, antara pengalaman yang paling memberi kesan kepadanya ialah penglibatan dalam aktiviti sukarelawan melalui program soup kitchen di Rescue Mission.

“Saya membantu menyediakan makanan pada waktu pagi dan mengagihkannya kepada gelandangan pada waktu petang. Pengalaman itu merupakan kali pertama saya berinteraksi secara langsung dengan golongan tersebut.

“Pengalaman ini mendorong saya untuk lebih aktif dalam khidmat komuniti pada masa hadapan. Saya juga berharap dapat menganjurkan program sendiri dan menggalakkan lebih ramai orang menyertai aktiviti sukarelawan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Muhammad Khairin Muhammad Luqman berkongsi pengalaman berdepan ribut ais besar (ice storm) sebaik sahaja tiba di Tennessee, AS.

Iris (kanan) bersama rakan-rakan di Disneyland.

Keadaan cuaca ekstrem tersebut menyebabkan bekalan elektrik dan internet terputus selama kira-kira dua minggu, sekali gus menyukarkannya untuk menghubungi keluarga di Malaysia.

Anak jati Terengganu yang tinggal bersama bapa angkat bernama Thomas Hurst turut menyatakan kekagumannya terhadap kesungguhan keluarganya memandu selama satu jam untuk mendapatkan bekalan makanan halal untuknya.

Di sekolah pula, Muhammad Khairin menyertai pasukan bola sepak sekolah dan berpeluang bermain dalam cuaca sejuk serta bersalji, sesuatu yang tidak pernah dialaminya di Malaysia.

Menurutnya, rakan-rakan sepasukan sangat mesra dan menerima kehadirannya dengan baik, selain tahap permainan mereka yang dilihat lebih tinggi serta komitmen yang lebih serius terhadap sukan tersebut.

“Sebelum ini, saya banyak memberi tumpuan kepada akademik, tetapi pengalaman ini mengajar saya bahawa terdapat banyak perkara lain yang sama penting dalam kehidupan.

“Aktiviti sosial, sukan dan kerja sukarelawan banyak membantu saya berkembang sebagai individu. Saya berharap dapat terus aktif dalam komuniti dan menyertai lebih banyak aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya.

Pengalaman sama turut dialami Aizan Hakimi Rashid apabila diberi kepercayaan menjadi pengurus pasukan varsity baseball sekolah serta menyertai kumpulan krew pentas bagi teater muzikal.

Menurut pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka yang ditempatkan bersama keluarga Johnson di Connecticut, AS itu, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum banyak membantunya membina keyakinan diri dan mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan.

Malah, anak jati Sarawak itu turut berpeluang memegang tanggungjawab sebagai pengurus pasukan baseball dan membantu menguruskan pentas teater, yang merupakan pengalaman yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini.

“Pengalaman ini sangat berharga kerana pada mulanya saya mengalami sedikit cabaran komunikasi kerana mereka bercakap dalam loghat tempatan dan laju, sedangkan bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda saya.

“Tapi sebagai pelajar pertukaran, saya cuba membuktikan bahawa saya layak memegang tanggungjawab yang diberikan walaupun saya tidak pernah menyertai mana-mana aktiviti tersebut di Malaysia.

“Alhamdulillah, masyarakat di kawasan saya sangat baik dan terbuka sekali gus menjadikan pengalaman ini sangat berharga,” katanya.

Selain aktif dalam pelbagai aktiviti sekolah, Aizan turut memainkan peranan sebagai duta kecil Malaysia apabila memperkenalkan negara, budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia kepada rakan-rakan yang kebanyakannya tidak pernah mengenali Malaysia sebelum ini.

Menurutnya, interaksi harian bersama rakan-rakan sekolah sering menjadi ruang untuk berkongsi tentang Malaysia, sama ada apabila mereka bertanya tentang latar belakang dirinya sebagai pelajar dari luar negara mahupun ketika berbual tentang perbezaan cara hidup antara Malaysia dan AS.

“Ramai dalam kalangan rakan sekelas tidak mengetahui lokasi Malaysia di peta dunia, jadi saya mengambil inisiatif untuk menunjukkan kedudukan negara serta berkongsi sedikit tentang budaya, pakaian tradisional dan cara hidup masyarakat di Malaysia.

“Usaha itu bukan sahaja membantu mereka lebih memahami Malaysia, malah membuka ruang untuk mereka berbincang tentang perbezaan budaya dan cara berfikir antara Malaysia dan AS,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN