SAUDARA PENGARANG,
Dalam majlis tertentu di sektor kerajaan, masih wujud situasi yang kurang menyenangkan apabila terdapat segelintir kakitangan terutama wanita yang terlalu awal membungkus makanan walaupun majlis masih berlangsung.
Tindakan ini sering berlaku dengan alasan mahu membawa pulang makanan untuk anak dan suami di rumah.
Sikap itu kadangkala menyebabkan makanan cepat habis sebelum semua tetamu sempat menikmati hidangan, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kakitangan lain.
Perkara ini juga menunjukkan perlunya kesedaran sivik yang lebih tinggi dalam kalangan kakitangan agar tidak mementingkan diri sendiri sehingga menjejaskan hak orang lain yang turut hadir.
Penganjur juga mungkin perlu memainkan peranan lebih tegas dengan menetapkan garis panduan yang jelas, termasuk larangan membungkus makanan sebelum majlis selesai atau sebelum semua tetamu dijamin telah makan.
Sikap saling menghormati dan bertimbang rasa perlu diterapkan supaya setiap majlis dapat berjalan dengan lebih harmoni, adil dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Insan teraniaya
Kuala Lumpur














