fbpx
Beberapa pekerja menjalankan kerja-kerja pembersihan ikan mati di Tasik Danau Kota, Kuala Lumpur bagi mengelakkan pencemaran air yang lebih serius.

Hujan lebat berterusan punca ikan mati di Tasik Danau Kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kejadian ratusan ikan mati yang ditemukan terapung di Tasik Taman Danau Kota, Kuala Lumpur baru-baru ini dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang menjejaskan kualiti air dan kandungan oksigen dalam tasik berkenaan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal dan pemantauan telah dijalankan susulan kejadian tersebut bagi mengenal pasti punca sebenar serta mengambil tindakan sewajarnya.

Menurut DBKL, Tasik Taman Danau Kota bukan sahaja berfungsi sebagai taman rekreasi, malah turut berperanan sebagai kolam takungan banjir.

“Kejadian ikan mati seperti ini pernah berlaku di beberapa tasik dan kolam takungan banjir sekitar Kuala Lumpur, khususnya selepas hujan lebat berterusan.

“Air yang mengalir masuk ke tasik daripada kawasan tadahan sekitarnya lazimnya membawa sedimen, bahan organik, sampah dan bahan pencemar melalui sistem saliran sebelum memasuki tasik,” katanya.

Jelas DBKL, berdasarkan pemerhatian awal, kejadian itu dipercayai berlaku akibat penurunan kandungan oksigen terlarut (Dissolved Oxygen – DO), perubahan kualiti air serta kemasukan sedimen dan bahan pencemar ke dalam tasik susulan cuaca hujan yang berpanjangan.

“Faktor-faktor ini boleh memberi tekanan kepada hidupan akuatik dan menjejaskan kelangsungan hidup ikan,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan keadaan sebuah tasik di Danau Kota yang dipenuhi ratusan bangkai ikan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai selepas rakaman dan gambar kejadian itu tular di media sosial.

Perkongsian seorang pengguna Threads yang dikenali sebagai Sofiahsajap menunjukkan banyak ikan terapung dan mati di permukaan air sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kebersihan serta kualiti air di lokasi tersebut.

Susulan kejadian itu, DBKL berkata, kerja-kerja pembersihan ikan mati telah dilaksanakan dengan segera bagi mengelakkan pencemaran air yang lebih serius, mengurangkan risiko kesihatan awam serta memastikan keselesaan pengunjung.

Tambah DBKL, perangkap sampah turut dipasang di saluran masuk tasik bagi mengawal kemasukan sampah terapung dan bahan pencemar.

“DBKL juga telah menjalankan pensampelan air bersama Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan pada 16 Jun 2026 bagi tujuan analisis kualiti air dan mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian tersebut.

“DBKL akan terus memantau keadaan tasik serta melaksanakan tindakan yang bersesuaian bagi memastikan kawasan rekreasi ini kekal selamat, bersih dan selesa untuk kegunaan warga kota,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN