HADI dan adik-beradiknya kini berasa bimbang sekiranya anak-anak mereka akan melakukan perkara yang sama kepada mereka apabila sudah tua kelak.–GAMBAR HIASAN

Pengakuan: Sesal abaikan ibu hingga mati seorang diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI anak desa yang berasal dari utara tanah air, Hadi (bukan nama sebenar) sentiasa berusaha untuk mengubah nasib keluarganya.

Dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan bersama seorang kakak dan dua adik, dia sentiasa belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga.

Hadi ingin membantu meringankan beban ibu yang terpaksa membesarkan mereka adik-beradik secara berseorangan selepas bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Dia kasihan melihat ibunya yang terpaksa melakukan dua pekerjaan pada satu-satu masa iaitu membuat kuih pada sebelah pagi dan mengambil upah menyulam pokok padi ketika waktu petang.

Ibunya terpaksa melakukan kerja-kerja tersebut bagi membolehkan mereka adik-beradik cukup makan dan pakai serta mendapat pendidikan yang sempurna.

Hasil kerja keras di sekolah dan didikan daripada ibunya selama ini, Hadi telah berjaya melanjutkan pelajaran dalam jurusan perakaunan ke luar negara.

“Sepanjang berada di luar negara, ibu tidak pernah berhenti mengirimkan duit kepada saya. Duit diberikan cukup untuk membeli makanan dan pakaian,” katanya.

Selepas lima tahun berkelana di Britain, Hadi kembali ke tanah air dan berjaya mendapat jawatan besar di sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur.

Dia tidak berseorangan, malah kakak dan adiknya juga berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi serta mendapat pekerjaan yang baik di ibu kota.

Selepas dua tahun bekerja, Hadi menamatkan zaman bujang dengan menikahi seorang gadis kota yang juga merupakan anak golongan kenamaan dan berada.
Memandangkan mereka semua bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur, ibu yang ketika itu berusia 57 tahun terpaksa hidup berseorangan di kampung dengan mengambil upah membuat kuih.

“Pada mulanya, saya dan adik-beradik lain ada mempelawa ibu datang tinggal bersama kami di Kuala Lumpur. Namun, ibu menolak atas alasan untuk menjaga rumah di kampung,” katanya.

Segalanya tampak sempurna sehinggalah pada satu hari Hadi mendapat panggilan telefon daripada jirannya di kampung yang mengatakan ibunya terjatuh tangga ketika rumah.

Akibat kejadian tersebut, ibunya telah patah buku lalu sekali gus membataskan pergerakan untuk melakukan aktiviti harian dan memerlukan orang untuk menjaganya.

Disebabkan itu, mereka adik-beradik telah berbincang untuk membuat pilihan memilih individu yang boleh membawa dan menjaga ibu di Kuala Lumpur.

“Hasil perbincangan dilakukan oleh kami, tiada siapa yang sukarela untuk menjaga ibu yang sakit.

“Kami masing-masing memberi alasan sibuk dengan kerja dan tidak ada masa untuk menjaga ibu.

“Saya rela hati untuk mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga ibu. Namun, isteri saya tidak suka ibu tinggal bersama kami di rumah kerana berasa kurang selesa,” ujarnya lagi.

Memandangkan tiada kata putus, Hadi dan adik-beradiknya sepakat untuk menghantar ibunya tinggal di rumah kebajikan bagi melepaskan tanggungjawab mereka.

 

HARI ibu yang disambut hari ini sewajarnya diraikan untuk menghargai pengorbanan melahirkan dan membesarkan oleh wanita teragung itu dalam hidup setiap insan.–GAMBAR HIASAN

 

Hadi memaklumkan, sepanjang tiga bulan tinggal di rumah kebajikan, tiada siapa yang datang melawat atau telefon untuk bertanyakan khabar berita ibu.

“Ketika kami menghantar ibu ke sana (rumah kebajikan), ibu tidak merungut atau mengeluh, namun terpancar rasa sedih daripada raut wajahnya.

“Saya yakin jauh di lubuk hati ibu, dia mahu tinggal dan menghabiskan sisa hidupnya bersama anak dan cucu. Namun, dia tidak mahu menyusahkan kami,” kenangnya pada peristiwa yang berlaku empat tahun lalu itu.

Selang lima bulan kemudian, pihak pengurusan rumah kebajikan telah memaklumkan bahawa ibunya sedang sakit tenat selepas beberapa hari demam.

Selepas mendapat berita tersebut, Hadi dan adik-beradiknya terus bergegas pulang ke kampung untuk melihat keadaan ibunya di hospital.

“Sebaik tiba di hospital, kami diberitahu bahawa ibu telah kembali menghadap Ilahi. Kami seperti kebingungan selepas mendapat berita sedih itu.

“Kami tidak dapat memohon ampun dan maaf kepada ibu sebelum dia pulang ke dunia abadi. Saya berasa sangat menyesal kerana tidak dapat membahagiakan ibu sebelum hayatnya berakhir,” katanya.

Menurut Hadi, ibunya banyak berkorban dalam usaha membesarkan mereka adik-beradik sehingga berjaya, namun apabila masing-masing sudah berjawatan dan berkeluarga pengorbanan wanita itu dilupakan.

Jelasnya, dia dan adik-beradiknya kini hidup dalam kebimbangan sekiranya anak-anak melakukan perkara sama seperti mereka lakukan kepada ibu selepas tua kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN