fbpx

Bina Puri kendali projek RM1.9 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Nilai projek pembinaan yang dikendalikan oleh Bina Puri Holdings Bhd. (Bina Puri) kini telah bertambah kepada RM1.9 bilion.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Matthew Tee berkata, penambahan tersebut disumbangkan oleh kejayaan kumpulan memperoleh projek baharu di Ramshahpath, Kathmandu, Nepal bernilai Nepalese Rupee NRs. 5.2 bilion (kira-kira RM183 juta).

Menurut beliau, projek itu terdiri daripada cadangan membina Kompleks Mahkamah Agung yang telah dianugerahkan Mahkamah Agung Nepal dengan tempoh pelaksanaan kerja selama 36 bulan.

Kompleks mahkamah baharu setinggi tujuh tingkat itu me­ngandungi dua buah ruang bawah tanah, bangunanan struktur berangka RCC dengan kemasan yang lengkap, kerja landskap, kerja-kerja mekanikal, paip dan elektrik termasuk alatan memadam api.

“Projek ini dibiaya sepenuh­nya oleh kerajaan Nepal dan Bina Puri bersama Kalika Construction Pvt. Ltd. (Kalika) dan Samanantar Nirman Sewa Pvt. Ltd. (Samanantar) telah menandatangani perjanjian usaha sama untuk membentuk Bina Puri – Kalika – Samanantar JV bagi melaksanakan projek tersebut.

“Kumpulan Bina Puri terus menerus aktif dalam aktiviti pembidaan sama ada bagi projek dalam negeri mahupun di luar negara.

“Ia adalah untuk me­ningkatkan pendapatan Kumpulan,” katanya dalam ke­nyataan yang dikeluarkan semalam.

Kalika adalah sebuah syarikat pembinaan kelas A di Nepal yang ter­kenal dan berpengalaman lebih daripada 40 tahun dalam semua jenis kerja pembinaan.

Samanantar pula ditubuhkan pada tahun 1993 dan kini merupakan salah satu syarikat pembinaan Nepal yang sedang berkembang dan paling terkenal serta berjaya me­mbangunkan pelbagai projek untuk sektor kerajaan dan lain-lain.

Bina Puri adalah antara kontraktor Malaysia yang terawal melibatkan diri di luar negara sejak tahun 1995.
Sebelum ini, kumpulan telah berjaya membina bangunan hotel lima bintang, Hyatt Regency Hotel di Kathmandu, Nepal pada April 2000 bernilai RM39 juta.

Sehingga kini, Kumpulan Bina Puri telah berjaya melaksanakan pelbagai projek pembinaan di serata dunia.
Antaranya termasuklah tiga buah lebuh raya di India iaitu, Lebuh raya Vijawada-Eluru, Le­buh raya Tada-Nellore di Andra Pradesh dan Lebuh raya Chittorgarh-Mangalwar di Rajastan.

Projek lain pula adalah Ba­ngunan Chanseri dan kediaman Kedutaan Besar di Beijing, China serta Jalan Utama menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suwarnabhumi, Bangkok, Thailand.

Bina Puri juga telah membina 30,000 unit rumah mampu milik dan kondominium di pelbagai lokasi di Thailand, dua blok kondominium 45 tingkat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, 174 unit Vila bagi Lembaga Perumahan Pertahanan Pakistan di Lahore serta lebih 3,000 unit rumah bagi Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei Darussalam.

Terkini, Kumpulan Bina Puri sedang membina Kompleks Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, Rusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI