fbpx

Wakil UMNO tak perlu letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen UMNO yang sedang menganggotai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu meletak jawatan sekurang-kurangnya sehingga tempoh darurat kesihatan berakhir pada 1 Ogos 2021.

Pakar sosiologi dan politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, desakan supaya mereka meletak jawatan sekarang tidak perlu dituruti kerana ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 bukan begitu.

“Parti (UMNO) sudah buat ketetapan bahawa kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan sehingga Ogos ini. Maka keputusan itu harus dihormati.

“Ketetapan itu harus memberi gambaran bahawa UMNO masih memberi keutamaan kepada soal kebajikan rakyat dan negara.

“Membenarkan Ahli Parlimen UMNO kekal dalam kerajaan PN pada waktu darurat adalah pertimbangan yang wajar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sivamurugan

Bekas Ahli Majlis Kerja Ter­tinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz baru-baru ini menyifatkan Menteri daripada UMNO yang tidak berani meletak jawatan sebagai pengecut dan tidak setia kepada parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Rosol Wahid turut mencabar Menteri dan Timbalan Menteri daripada UMNO supaya mengundurkan diri tanpa syarat.

Ia berikutan PAU 2020 meluluskan usul untuk 42 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhenti menyokong kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

Malah, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, UMNO memberi tempoh sehingga Ogos ini untuk kerajaan PN bubarkan Parlimen atau seluruh Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada PN.

Kamarul

Pensyarah kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pe­ngajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff pula berkata, anggota Kabinet daripada UMNO wajar mengekalkan jawatan masing-masing buat masa ini.

Menurut beliau, sebahagian mereka terlibat dalam menguruskan perihal pandemik Covid-19 dan juga ekonomi yang masih berhadapan pelbagai cabaran.

Jelas beliau, jika mereka meletak jawatan, segala urusan akan tergendala kerana penyandang baharu pasti mengambil masa untuk kembali meneruskan pentadbiran terdahulu.

“Jika mahu juga letak jawatan sekali pun mungkin dalam badan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana yang itu kurang menganggu kelicinan urusan kerajaan,” katanya.

Penganalisis politik bebas, Dr. Jeniri Amir pula berpandangan, soal penakut atau pengecut tidak timbul kerana paling utama buat masa sekarang adalah kestabilan politik dan pentadbiran negara.

Kata beliau, ketenteraman politik akan membolehkan Kabinet memberi tumpuan kepada usaha menangani isu kepenti­ngan rakyat dan negara khusus­nya Covid-19 dan ekonomi.

“Kita harus mengelak tercetusnya krisis politik yang boleh memudaratkan negara pada waktu-waktu sukar begini. Ini boleh memberi gambaran tidak baik kepada pelabur asing.

“Bagi saya cubaan melabelkan pengecut atau penakut ini propaganda yang sengaja untuk memberi tekanan kepada Ahli Parlimen UMNO terbabit,” katanya.

Justeru, katanya, semua pihak perlu bersabar sehingga tempoh darurat kesihatan berakhir pada 1 Ogos depan kerana kepenti­ngan negara dan rakyat mengatasi kepentingan ideologi dan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI