fbpx
MAHFODZ mengadakan sidang akhbar selepas Mesyuarat Pas Khas di Pejabat Pas Negeri Johor, Bandar Baru Uda, Johor Bahru malam semalam.-Foto RAJA JAAFAR ALI

PRN Johor: Persediaan Pas Johor terjejas lepas ‘bercerai’ dengan Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Persediaan Pas Johor menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka terjejas susulan keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, sebelum ini pembahagian kerusi antara parti-parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Johor telah pun selesai dirundingkan.

Menurutnya, Pas Johor malah sudah mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi dan menggerakkan jentera di kawasan berkenaan.

“Ketika bersama PN sebelum ini, kita memang sudah ada kerusi-kerusi yang mahu ditandingi dan gerak kerja juga telah berjalan.

“Malah, ada kerusi yang telah dipersetujui untuk ditandingi Pas dan kita menyasarkan untuk meningkatkan jumlah kemenangan berbanding sebelum ini. Apabila jadi begini, persediaan hadapi PRN sedikit terjejas,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pas Johor di Ibu Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda di sini, malam semalam.

Mahfodz berkata, susulan perkembangan terbaharu itu, rundingan pembahagian kerusi perlu dilakukan semula dengan parti-parti lain yang berpotensi bekerjasama dengan Pas bagi menghadapi PRN Johor.

Katanya, rundingan tersebut akan dikendalikan oleh kepimpinan Pas Pusat dan bukannya Pas negeri.

“Dengan jajaran politik baharu ini, kita belum tahu lagi berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi Pas kerana semuanya bergantung kepada rundingan di peringkat pusat.

“Calon-calon juga belum dapat diputuskan kerana kerusi yang akan ditandingi masih dalam proses rundingan,”ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jentera Pas Johor akan terus bergerak dan persiapan menghadapi PRN tidak akan dihentikan meskipun berlaku perubahan landskap politik semasa.

Menurutnya, Pas tidak akan bertanding secara solo, sebaliknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa parti politik bagi membentuk kerjasama pilihan raya atau electoral pact.

“Pas tidak akan bertanding bersendirian. Akan ada kerjasama dengan beberapa parti lain dan kemungkinan setiap parti akan menggunakan logo masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfodz berkata hubungan persahabatan antara Pas dan Bersatu di Johor akan terus dipelihara walaupun kedua-dua parti tidak lagi bekerjasama dari sudut politik.

“Saya sendiri telah menghubungi pimpinan Bersatu Johor dan meminta supaya hubungan silaturahim diteruskan kerana yang berpisah hanyalah kerjasama politik,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN