fbpx

Perjalanan Zii Jia baru bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHEE HIN (kanan) menunjukkan piala-piala yang dimenangi oleh Zii Jia sambil ditemani Siet Peng di kediaman mereka di Darul Aman Heights, Jitra semalam. – MOHD. RAFIE AZIMI

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

MESKIPUN Lee Zii Jia kini bergelar pemain perseora­ngan No. 1 Malaysia, namun bagi ­bapanya, Lee Chee Hin, 54, perjalanan anaknya itu baru sahaja bermula dengan kejayaan bergelar juara All England malam kelmarin.

Menurut bekas ahli perniagaan itu, beliau mengharapkan supaya Zii Jia dapat mencapai lebih banyak kejayaan buat Malaysia sambil mendapat soko­ngan dan doa daripada seluruh rakyat negara ini.

Katanya, sebagai anak muda yang baru berusia 23 tahun, Zii Jia memiliki masa cukup panjang untuk terus berbakti kepada negara dengan syarat, dia perlu berpandangan jauh dan tidak cepat ber­puas hati dengan apa dicapai.

“Apabila menyaksikan aksi final di televisyen bersama keluarga semalam (kelmarin), saya amat berdebar-debar. Apatah lagi Zii Jia yang terpaksa mengharungi cabaran cukup sengit dengan menang 30-29 pada set pertama dan tewas pula 20-22 dalam set kedua.

“Tetapi saya lega dia dapat terus fokus untuk mencapai kemenangan pada set ketiga. Kami sangat berbangga dan gembira dengan pencapaiannya itu setelah dia berdepan dugaan cukup hebat dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Darul Aman Heights, Jitra semalam.

Zee Jia menamatkan penantian empat tahun Malaysia untuk meraih gelaran juara All England selepas menewaskan Viktor ­Axelsen dari Denmark.

Ibu Zii Jia, Leow Siet Peng, 53, berkata, pemain No. 10 dunia itu sebenarnya berdepan tekanan apabila aksinya dipertikaikan.

“Dia merasa tertekan apatah lagi setelah melihat lima pemain senior disingkirkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari lalu. Baginya, dia juga bersalah kerana prestasinya juga terumbang-ambing.

“Kini semuanya terasa berbaloi. Selepas menerima piala dan pingat semalam, dia sempat membuat panggilan video kepada­ kami untuk berkongsi momen indah tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI