fbpx

Cuepacs saran penjawat awam semak semula polisi insurans kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden Cuepacs Adnan Mat (kanan), menerangkan mengenai keperluan penjawat awam mengambil perlindungan insurans tambahan pada Majlis Penyampaian Bantuan Sumbangan Banjir daripada Cuepacs di Kuantan semalam.

KUANTAN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan penjawat awam yang membeli rumah melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) atau bank komersial mengambil perlindungan insurans tambahan termasuk harta benda.

Presidennya, Adnan Mat berkata, mereka perlu menilai semula keseluruhan polisi yang ada agar perlindungan diperoleh turut meliputi keseluruhan isi rumah.

“Sebelum ini, jika berlaku musibah seperti bencana atau malapetaka, insurans takaful rumah tidak memberi perlindungan kepada barangan yang ada di dalam rumah dan selepas ini, (penjawat awam) yang membuat pembelian atau pinjaman perumahan baharu perlulah meneliti keseluruhan polisi.

“Ini supaya apa yang berlaku dengan rumah mereka itu, perlindungan juga bukan sahaja membabitkan struktur bangunan bumbung seperti tiang, siling dan sebagainya, tetapi termasuk barangan kelengkapan dalam rumah itu juga,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Sumbangan Banjir daripada Cuepacs, di sini, semalam.

Seramai 530 orang mangsa banjir yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara Januari lalu, terdiri daripada penjawat awam seluruh Pahang dan merupakan ahli kesatuan Cuepacs menerima sumbangan itu.

Sementara itu, Adnan berkata, Cuepacs turut mencadangkan Bank Negara serta Kementerian Kewangan mewajibkan syarikat insurans di Malaysia memasukkan terus perlindungan akibat kerosakan banjir dalam polisi semasa pembelian rumah.

“Cuepacs terus melihat kepada keperluan ini kerana setiap tahun musibah seperti banjir ini pasti berlaku dan menjadi masalah buat pemilik rumah yang tidak memiliki perlindungan tambahan untuk kediaman mereka.

“Bagaimanapun ia tidak boleh menjadi alasan untuk pihak insurans menaikkan premium insurans ini kerana tidak semua yang mampu membeli perlindungan tambahan ditawarkan syarikat insurans,”ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI