fbpx

Hakim tarik diri dengar rayuan saman pemula Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Seorang Hakim Mahkamah Rayuan hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang membatalkan saman pemulanya berkaitan kes liwatnya membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Wira Kamaludin Md. Said yang mengetuai panel tiga hakim bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian selepas peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram menimbulkan isu berkenaan pada awal prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Dalam prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili kerajaan dan peguam, Harvinder Singh Sidhu yang hadir mewakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku pencelah dalam kes itu tidak mengemukakan sebarang bantahan dan menyerahkan perkara tersebut kepada mahkamah.

“Kes ini (saman pemula) sepatutnya didengar oleh saya sewaktu di peringkat Mahkamah Tinggi sebelum ia dipindahkan ke mahkamah yang lain. Saya juga sempat meminta Peguam Kanan Persekutuan ketika itu untuk memfailkan afidavit bagi pihak kerajaan pada ketika itu. Oleh itu, saya akan menarik diri daripada mendengar kes ini,” kata hakim itu.

Berikutan itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nik Serene Nik Hasim kemudian menetapkan 23 Jun ini untuk pendengaran rayuan tersebut.

Berdasarkan saman pemula Anwar yang difailkan pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan Malaysia, beliau mendakwa tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Sehubungan itu, Anwar memohon satu deklarasi bahawa sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 ultra vires atau melangkaui kekuasaan Perlembagaan Persekutuan dan terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu ultra vires dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah.

Bagaimanapun, Anwar telah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Pada 8 November 2017, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula Anwar selepas memutuskan bahawa kesnya tidak mempunyai asas dan sebarang bukti sebagai sokongan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI