PASIR MAS – Dua tekong darat termasuk seorang etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas tuduhan menyeludup 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh dengan kereta di Tumpat, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Rozi Isa, 48, dan Solim Sultan Amin, 31, yang merupakan pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Bagimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa menyeludup 12 warga Myanmar dan Bangladesh dengan menggunakan kereta jenis Perodua Bezza di kawasan semak Kampung Telaga Bata, Chabang Empat, Tumpat pada pukul 11 malam, 25 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan Mohd. Rozi dan Solim diikat jamin dan menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














