JOHOR BAHRU – Seorang penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat berjumlah RM18,500, awal tahun lalu.
Tertuduh, M. Dhivan, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah secara rasuah memberi suatu suapan iaitu wang tunai RM18,500 kepada anggota polis Unit Rondaan dan Bermotosikal (URB) IPD Segamat.
Rasuah itu sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas tertuduh dan rakan-rakannya yang memiliki rekod lampau jenayah dan kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4 pagi di Kilometer 1.89 Jalan Buloh Kasap-Segamat, Segamat, pada 24 Januari tahun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.
Tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin manakala tertuduh diwakili peguam K. Nahtan.
Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah untuk meletakkan jaminan yang maksimum sebagai pengajaran kepada masyarakat umum.
Nahtan dalam rayuannya, memaklumkan anak guamnya bekerja sebagai penyelia kilang dengan pendapatan RM2,000 sebulan, isterinya tidak bekerja dan mempunyai tanggungan dua orang anak yang masih kecil berusia lima dan dua tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM6,000 selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.
Tarikh 5 Jun depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE














