fbpx

Dua kilang kitar semula plastik diarah henti operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di dalam sebuah kilang plasti di Kawasan Perusahaan Perai di Perai yang diberi notis menghenti operasi kerana menyebabkan pencemaran semalam.

SEBERANG PERAI – Dua buah kilang kitar semula plastik di Kawasan Perusahaan Perai di sini diarahkan menghentikan operasi serta-merta oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam selepas didapati menyebabkan pencemaran air, udara dan bunyi.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kedua-dua kilang itu diberi Notis Arahan di bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan pencemaran dan membolehkan siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan mendapati salah satu kilang tersebut menjalankan operasi kitar semula sisa plastik tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Kilang yang dilengkapi mesin penghancur plastik dan menghasil resin itu telah menyebabkan bunyi bising kepada penduduk berhampiran terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

“Kilang tersebut yang mempunyai Lesen Import (AP) sisa plastik turut didapati menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa sistem pengolahan efluen perindustrian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, JAS mendapati sebuah lagi kilang gagal mengendali dan menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara kotak sembur.

“Kilang yang menjalankan operasi pengacuan plastik tersebut didapati menjadi punca pencemaran habuk hitam ke kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, penahanan operasi kelengkapan serta-merta melalui penguatkuasan JAS bertujuan untuk menghentikan pencemaran daripada berterusan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 7(3), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI