KUANTAN – Empat pekerja mengalami kecederaan dalam kejadian letupan di sebuah kilang besi di Gebeng di sini hari ini.
Rakaman video berdurasi enam saat yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki cedera parah dengan tangan kanannya hancur dan berlumuran darah, manakala seorang lagi mangsa melecur di bahagian belakang badan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian pada pukul 9.30 pagi itu melibatkan empat mangsa lelaki terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan tiga warga asing.
“Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini dengan menggunakan ambulans syarikat bagi mendapatkan rawatan.
“Siasatan awal di lokasi mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada letupan melibatkan peralatan industri di dalam premis berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sepasukan anggota Balai Polis Gebeng digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
Katanya, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk pengurusan kilang, agensi keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan kepada polis bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














