fbpx

10 ahli diberkas, Geng 21 Kluang lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
10 ahli Geng 21 Kluang diberkas dalam lapan siri serbuan sekitar Kluang, Yong Peng dan Johor Bahru, 16 Januari lalu. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya melumpuhkan kegiatan kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai Geng 21 Kluang apabila 10 ahlinya diberkas dalam lapan siri serbuan di sekitar negeri ini, 16 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan bermula pada pukul 2.30 pagi itu, kesemua 10 lelaki yang ditahan berusia 29 hingga 44 tahun.

Menurutnya, mereka diberkas di sekitar kawasan Kluang, Yong Peng dan Johor Bahru.

“Hasil semakan rekod jenayah ke atas kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta jenayah kekerasan.

“Polis merampas dua helai disyaki lambang Geng 21, 17 buah telefon bimbit serta dua bilah pisau lipat,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, hasil tangkapan kumpulan gengster terbabit, polis berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah kekerasan yang melibatkan kes samun berkumpulan dengan mendatangkan kecederaan parah.

Ujarnya, kongsi gelap ini aktif melakukan jenayah pemerasan di tapak projek pembinaan, ugutan jenayah serta mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata di daerah Kluang dari tahun 2019 hingga 2020.

Tegas Ayob Khan, lapan daripada suspek diambil tindakan dibawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) untuk siasatan lanjut.

“Seorang suspek telah dituduh dibawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan telah mengaku di mahkamah serta dikenakan hukuman denda RM1,500 manakala seorang lagi suspek dibebaskan,”katanya.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI