fbpx

Peniaga air tebu terkejut banyak pertuduhan sumbang mahram, rogol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan.

KLANG – Seorang peniaga air tebu yang berdepan penjara sehingga 1,830 tahun sempat menanyakan kepada Mahkamah Sesyen di sini berhubung jumlah bilangan pertuduhan yang banyak dihadapi dirinya.

Tertuduh berusia 42 tahun didakwa 64 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anaknya dan merogol rakan anaknya di antara 2019 hingga 2021.

“Boleh saya tanya sedikit, kenapa pertuduhan ini begitu banyak,” katanya.

Bagaimanapun, pertanyaan itu tidak direkodkan oleh pihak mahkamah.

Terdahulu dalam prosiding kira-kira dua jam, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Mengikut 55 pertuduhan, bapa kepada tujuh orang anak termasuk dua anak tiri telah melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sendiri.

Perbuatan itu dilakukan di antara April 2019 hingga Januari 2021.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa sembilan pertuduhan merogol rakan anaknya yang bermula Ogos 2020 hingga Januari 2021 dengan kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan, sekiranya disabitkan kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah ini. Kedua-dua mangsa kini berusia 14 tahun.

Peguam Khairul Naim Rafidi mewakili tertuduh memohon ikat jamin susulan anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Ini juga berdasarkan prinsip tidak bersalah selagi dibuktikan bersalah dan sekiranya ditahan dalam penjara akan memberikan kesan terhadap anak guam dan orang lain dalam pandemik Covid-19 ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar membantah sebarang ikat jamin kerana merupakan kesalahan serius serta boleh menganggu dua-dua mangsa dengan anak tertuduh tinggal bersamanya.

“Berhubung faktor pandemik Covid-19, tindakan telah diambil pihak penjara dengan kesemua banduan disaring dan dikuarantin sebelum dibenarkan masuk penjara,” katanya.

Mahkamah kemudiannya tidak memberikan sebarang jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan 24 Mac depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI