fbpx
EJEN hartanah dijangka dituduh menikam kenalan wanitanya di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada esok.

Ejen hartanah kes tikam ibu tunggal dituduh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang ejen hartanah yang ditahan berhubung kes tikam kenalan wanita di dalam kereta di Titi Gajah pada 17 Mei lalu dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada esok.

Pertuduhan terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dijangka dilakukan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Pendakwaan di bawah seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah ketika dihubungi hari ini.

Tertuduh kini dalam reman bagi membantu siasatan kes tikam wanita berusia 35 tahun tersebut sejak 18 Mei lalu dengan kes sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita yang merupakan ibu tunggal dua anak cedera parah pada leher akibat ditikam seorang kenalan lelaki di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah kira-kira pukul 9.19 malam, 17 Mei lalu.

Kejadian tikam itu berlaku di dalam sebuah kereta jenis Mazda dengan mangsa berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.

Suspek yang melarikan diri sebaik kejadian berjaya ditahan ketika bersembunyi di kawasan masjid di Taman Uda, di sini kira-kira pukul 1.50 pagi, 18 Mei lepas.

Suspek dan mangsa dikatakan saling mengenali sejak lebih setahun lalu kerana mereka masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah.

Motif kejadian dipercayai akibat perasaan cemburu atau cinta tidak berbalas.

Sebilah pisau rambo yang disyaki digunakan dalam kejadian itu berjaya dijumpai polis di kawasan sawah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian setelah dipandu arah oleh suspek sendiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN