KLANG – Kes seorang perancang acara yang memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus sebelum merempuh seorang penunggang motosikal di Persiaran Kota di sini, dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk semakan lanjut.
Mangsa, Allahyarham Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.28 petang, Isnin lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey.
“Ya,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, tertuduh, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) alkohol dalam 100 milimeter (ml) darah di Persiaran Kota di sini, kira-kira pukul 12.35 pagi, 13 Mei lalu.
Jumlah itu melebihi had 146mg alkohol dalam 100ml darah sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal yang juga mangsa, Zulfiqar.
Justeru, Kean Peng didakwa mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! sebelum ini melaporkan keluarga mangsa Allahyarham Zulfiqar akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemandu lelaki tersebut termasuk telah membuat writ saman.
Bapa mangsa, Amirul Nizam Abdul Aziz, 49, berharap peruntukkan seksyen atau kesalahan mengenai kejadian itu dapat dinaikkan atau ditukar kerana anaknya telah meninggal dunia selain mahu keadilan ditegakkan kerana melibatkan pemandu mabuk. – KOSMO! ONLINE














