fbpx
GAMBAR HIASAN

Sakit buah pinggang pembunuh senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

MASALAH buah pinggang kronik (CKD) menjadi antara salah satu penyakit yang menyumbang kepada peningkatan kadar kematian rakyat negara ini. Tidak terkecuali bapa kepada penulis juga berhadapan dengan masalah sama.

Tiga tahun lalu, dia telah didiagnosis berhadapan dengan CKD tahap lima yang memerlukan rawatan hemodialisis dilakukan dengan segera.

Namun, Allah lebih menyayanginya apabila setelah hampir sebulan disahkan berhadapan dengan penyakit tersebut, dia telah menghembuskan nafas terakhirnya.

Penulis reda dengan ketentuan takdir itu kerana ajal dan maut seseorang itu sudah diatur oleh-Nya.

Namun, jika masalah CKD ini dapat dikesan dengan lebih awal sebelum berada pada tahap akhir mungkin rawatan yang sesuai boleh diberikan.

Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Dr. Lily Mushahar menjelaskan, masalah CKD pembunuh senyap jika saringan kesihatan tidak dilakukan.

Menurutnya, statistik penyakit buah pinggang di negara ini mencatatkan jumlah yang tinggi setiap tahun.

“Secara umum, sebanyak 15 peratus rakyat Malaysia menghadapi penyakit buah pinggang kronik pelbagai peringkat.

“Manakala, seramai 8,000 pesakit baru disahkan berhadapan dengan CKD tahap kelima yang perlu melalui rawatan hemodialisis setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, punca utama masalah tersebut adalah disebabkan masalah diabetes iaitu seramai 65 peratus hingga 70 peratus.

Ujarnya, punca lain adalah berkaitan dengan masalah darah tinggi dan batu karang.

“Mereka yang berhadapan dengan risiko masalah tersebut adalah yang berada pada peringkat umur 55 tahun ke atas,” ujarnya.

Lily menambah, mereka pada peringkat umur sedemikian digalakkan untuk melakukan saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

“Selain itu, mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang berhadapan dengan masalah buah pinggang dan juga batu karang juga amat digalakkan untuk melakukan saringan kesihatan.

“Saringan kesihatan ini boleh dilakukan melalui ujian darah ataupun ujian air kencing yang boleh mengenal pasti sama ada seseorang itu berhadapan dengan masalah buah pinggang atau tidak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Nefrologi di Jabatan Perubatan Universiti Putra Malaysia, Dr. Nor Fadhlina Zakaria berkata, walaupun masalah CKD merupakan pembunuh senyap itu bukan bermakna hidup seseorang akan berakhir.

“Terdapat alternatif rawatan yang boleh diberikan untuk merawat masalah ini.

“Antara rawatan yang boleh diberikan termasuklah hemodialisis, peritoneal dialisis ataupun menjalani pemindahan buah pinggang atau transplan,” jelasnya.

Dalam pada itu, memetik ucapan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kebanyakan pesakit buah pinggang kronik tidak menyedari mereka berhadapan dengan masalah tersebut pada peringkat awal.

“Apa yang paling membimbangkan, kebanyakan daripada pesakit tidak sedar bahawa mereka menghadapi penyakit tersebut,” katanya.

BERITA BERKAITAN