KUCHING – Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipandunya terbabas dalam kemalangan kendiri di Jalan Lachau, Sri Aman, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.39 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Flecther Kleberson Anak Pandi, 22, disahkan meninggal dunia selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.39 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza yang dipercayai terbabas sendiri.
“Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dewasa dalam kenderaan berkenaan.
“Pemandu yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 23 tahun dikenali sebagai Cordellia Raoh, berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, selepas operasi menyelamat selesai, anggota bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.14 pagi. – KOSMO! ONLINE














