fbpx
GAMBAR HIASAN

Malaysia, ayuh kita doakan kesembuhan Afiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ADHAM SHADAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

“Masa berlalu 22 tahun. Hari ini menerima khabaran duka.

Adik Mohd. Afiq Iqmal mengalami komplikasi hati dan tidak sedarkan diri sejak kelmarin. Apa yang aku khuatir 22 tahun dahulu terjadi hari ini. Mohon doakan kesihatan beliau.”

Saat membaca hantaran itu oleh Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail di akaun Facebooknya malam Ahad lalu, penulis terkejut dan dirundung sayu.

Mohd. Afiq Iqmal Muhamad Zaini, 23, dan Wan Mohd. Hafizam, 45, mempunyai ‘pertalian hati’ apabila Hafizam mendermakan sebahagian hatinya kepada Afiq sewaktu Afiq berusia 14 bulan.

Dua jiwa berkongsi hati ini melakar sejarah negara pada 3 April 1999 apabila transplan pemindahan hati mereka itu merupakan peristiwa pertama pendermaan organ tanpa pertalian keluarga di negara ini.

Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor menjadi saksi kemurnian jiwa seorang jejaka yang menjalani pembedahan mendermakan sepertiga hatinya demi menyambung hayat seorang bayi bermasalah hati yang dikatakan cuma dapat hidup sehingga lapan bulan lagi.

Justeru, kanak-kanak itu pun dapatlah meneruskan hidup dan membesar seperti insan lain. Namun, hari ini kita dikejutkan dengan berita Afiq sedang kritikal dan dirawat di Hospital Selayang, Selangor.

“Sebagai bapa, dengan rasa rendah hati saya memohon rakyat Malaysia sama-sama mendoakan kesembuhan Afiq, mana tahu mungkin ada doa hamba Allah lain yang dimakbulkan,” ungkap bapa Afiq, Muhamad

Zaini Derahim penuh pengharapan kepada satu akhbar baru-baru ini.

Tiba-tiba penulis terkenang peristiwa tiga tahun lalu saat penulis mengambil inisiatif mengaturkan pertemuan antara Hafizam dan Afiq.

Penulis percaya itulah kali pertama mereka disatukan semula dalam sesi fotografi oleh media setelah sekian lama.

Percaturan penulis berjaya kerana keizinan bapa Afiq.

Kata-kata bapa Afiq kepada saya dalam pertemuan Afiq dan Pak Anjangnya (panggilan Afiq kepada Hafizam) kekal dalam ingatan sekali gus meniup rasa bahagia ditakdirkan menjadi wartawan.

“Peristiwa itu sudah lama, tidak sangka orang masih ingat. Kalau ikutkan saya tidak mahu ia diungkit lagi.

Tetapi, nak tahu, kenapa saya setuju untuk ditemu bual masa encik hubungi tempoh hari? Ia adalah kerana saya ingat wartawanlah yang telah membantu saya ketika saya susah dan anak saya kritikal dahulu.

Sejak itu saya memang sukar untuk menghampakan permintaan mana-mana wartawan,” ujarnya yang sempat meminta saya sampaikan salam kepada beberapa wartawan senior yang pernah menguar-uarkan kesulitannya sehingga dihadirkan Allah seorang penderma.

Sebagai seorang yang sangat menghargai budi, marilah media dan seluruh rakyat Malaysia tidak menghampakan bapa Afiq dengan membantu dan mendoakan kesembuhan anaknya sebagai mana ‘keajaiban’ yang pernah kita lakukan kira-kira dua dekad lalu.

Semoga Allah memberikan kesembuhan kepada Afiq dan dirinya kembali sihat.