Presiden Donald Trump dan Setiausaha Perang, Pete Hegseth mendabik dada mengisytiharkan Amerika Syarikat (AS) menang perang ke atas Iran dengan menghancurkan semua kapal perang, memusnahkan lebih 60 peratus pelancar roket dan peluru berpandu serta merosakkan infrastruktur penting Tehran.
Serangan besar-besaran pakatan AS-Israel ke atas Iran 28 Februari lalu mencetuskan kemusnahan besar dengan pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei turut terkorban.
Iran membalas dengan membedil beribu-ribu peluru berpandu balistik dan dron, bukan sahaja menyasarkan Israel tetapi pangkalan-pangkalan tentera Amerika di Teluk seperti di Bahrain, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Oman dan Arab Saudi.
Sejarah menunjukkan tiada rejim mampu dihancurkan semata-mata melalui serangan udara dengan perang kini memasuki minggu ketiga.
Walaupun mengisytiharkan kemenangan, Trump meminta bantuan sekutu Amerika seperti Eropah, Jepun, Korea Selatan dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk menghantar kapal-kapal perang bagi membuka semula Selat Hormuz yang ditutup oleh Iran.
Permintaan dibuat selepas harga minyak dunia melonjak 50 peratus dan mula membebankan ekonomi negara-negara dunia, memaksa langkah drastik seperti bekerja empat hari seminggu dan penutupan sekolah dilakukan.
Di sebalik retorik kemenangan, Trump tidak mempunyai banyak pilihan atau lebih spesifik, tiga pilihan dalam konflik tersebut.
Beliau boleh mengundurkan tentera Amerika sepenuhnya dari Asia Barat sambil mendabik dada berjaya memusnahkan tentera Iran. Pilihan ini paling selamat.
Namun, ia berisiko mengakibatkan Washington hilang pengaruh di rantau itu seperti yang berlaku apabila Moscow berundur dari Syria tidak lama dahulu.
Israel yang merupakan sekutu paling rapat Amerika pula terpaksa berperang sendiri jika perkara ini berlaku.
Pilihan kedua yang lebih berat menyaksikan Amerika melancarkan serangan darat di Iran iaitu negara memiliki bentuk muka bumi sukar dan didiami lebih 90 juta orang. Amerika harus ingat Iran bukannya Iraq atau Afghanistan.
Perang Afghanistan berlanjutan 20 tahun dengan kos lebih AS$2 trilion(RM7.8 trilion) manakala ribuan kematian melibatkan askar AS jika Washington menyerang Iran, semenangnya dijangkakan. Pilihan ini amat berat kerana Trump akan berdepan pilihan raya separuh penggal pada November ini.
Pilihan ketiga pula melibatkan Amerika Syarikat menggunakan senjata nuklear untuk menghapuskan rejim Tehran. Tindakan tersebut bagaimanapun berisiko mencetuskan Perang Dunia Ketiga yang akan membawa kemusnahan global.
Mungkin ada baiknya Trump berbincang dengan sekutu Baratnya seperti pernah dilakukan oleh Presiden George W. Bush yang menggembleng sokongan dunia sebelum menyerang Iraq, berbanding secara spontan berperang dengan Iran seperti sekarang, menyebabkan Amerika Syarikat terjerumus ke dalam dilema yang sangat sukar untuk diselesaikan.














