fbpx
Pembuangan sampah semakin ketara ketika perantau pulang ke kampung pada musim perayaan. - GAMBAR HIASAN

2026 masih buang sampah ikut tingkap kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Ingat kita kuli dia ke nak kena kutip dan sapu sampah yang dia buang merata-rata.”

Kata-kata ini pernah terpacul dari mulut Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat kerana kecewa dengan sikap segelintir rakyat yang membuang sampah sesuka hati di jalanan termasuk melempar sampah daripada kenderaan.

Kini sudah 2026, namun masih ada segelintir daripada kita yang nampaknya masih tebal dengan perangai kurang bertamadun terutama terhadap aspek penjagaan kebersihan di tempat awam.

Mereka bagaikan masih ‘kurang reti’ mengenai cara membuang sampah yang betul. Entah dari ceruk mana mereka datang kerana bekas makanan, minuman, atau puntung rokok dibuang sesuka hati.

Di tepi jalan, di pembahagi jalan, di kawasan taman atau dari dalam kereta, mereka bagai langsung tiada rasa malu terhadap orang sekeliling yang menyaksikan perbuatan tidak bertamadun mereka itu.

Mereka sedikitpun tidak merasa bersalah kerana selamba saja berlalu apabila bekas minuman atau makanan atau puntung rokok dibuang.

Jujurnya ini amat mendukacitakan. Ketika negara bergerak laju ke depan melahirkan ramai insan terpelajar, masih ada yang berperangai buruk dalam masyarakat. Saya sendiri sudah banyak kali terserempak dengan manusia-manusia yang berperangai buruk ini.

Ada yang selamba membuang sampah dari dalam kenderaan di jalan raya.

Tingkap dibuka, tangan dihulur keluar dan plastik sampah dilepaskan tanpa rasa segan. Yang merokok pun sama, selesai rokok dihisap, puntungnya dijentik keluar tingkap.

Di taman-taman rekreasi yang sepatutnya menjadi ruang untuk berehat dan menghirup udara segar, kita masih disajikan dengan pemandangan botol kosong, pembungkus makanan dan sisa plastik bertaburan.

Ironinya, tong sampah selalunya tersedia tidak jauh dari situ. Bagi golongan ini, berjalan beberapa langkah untuk membuang sampah dengan betul nampaknya terlalu membebankan.

Lebih teruk apabila pembahagi jalan dan longkang turut menjadi sasaran manusia berperangai buruk ini.

Akibatnya, sistem saliran tersumbat, banjir kilat berlaku dan akhirnya semua pihak terpaksa menanggung kesan daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir ini.

Mereka membuang, orang lain yang menanggung. Paling sedih, mereka seolah-olah buat orang lain jadi kuli kerana terpaksa mengutip, menyapu dan membersihkan segala sampah yang dibuang.

Golongan seperti ini sebenarnya bukan tidak tahu, tetapi tidak mahu ambil peduli.

Mereka sedar perbuatan itu salah, tetapi memilih untuk mementingkan diri sendiri. Sikap ‘asal bukan kawasan rumah aku’, lantak kau la.

Begitulah agaknya. Alasan seperti tiada tong sampah langsung tidak boleh diterima.

Jika mampu membeli makanan dan minuman, mengapa tidak mampu menyimpan sampah sendiri sehingga bertemu tempat yang sesuai untuk membuangnya? Ini bukan soal kemudahan, tetapi soal sikap.

Undang-undang untuk membendung golongan tidak bertamadun ini memang sudah ada, tapi ia hanya sia-sia jika mentaliti puak-puak ini masih tidak berubah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN