fbpx
Sejak Tahun Baharu Cina pada Februari lalu, Ramadan sampailah Aidilfitri, jalan-jalan utama dan lebuh raya di Lembah Klang padat dengan kenderaan. - GAMBAR HIASAN

Jalan raya kurang sesak minggu depan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru-baru ini, penulis bertemu seorang rakan. Sudah lama kami tidak berbual panjang disebabkan komitmen masing-masing. Rakan penulis beritahu dia sudah berhenti kerja kerana mahu memberikan tumpuan terhadap keluarga termasuk anaknya yang masih bersekolah.

Memang agak terkejut kerana dia sanggup melepaskan jawatan dan gaji yang besar. Lebih mengejutkan, alasan lain dia berhenti kerja kerana tidak sanggup menghadap kesesakan lalu lintas.

Dalam meniti usia pertengahan, rakan penulis beritahu dia memilih untuk hidup dengan tenang, tambahan pula pasangannya mampu menyara mereka sekeluarga.

Sabtu lalu, penulis menerima jemputan rumah terbuka Aidilfitri di ibu negara. Seorang rakan penulis menghantar kiriman WhatsApp dia sedang berkira-kira untuk menghadiri jamuan tersebut sebab lokasinya terkenal dengan jem. Geleng kepala penulis.

Sejak sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari lalu, Ramadan sampailah Aidilfitri, jalan-jalan utama dan lebuh raya di Lembah Klang padat dengan kenderaan tidak kira waktu siang atau malam. Kadang-kadang penulis tertanya-tanya dari mana mereka ini?

Perjalanan ke tempat kerja yang biasanya mengambil masa 30 hingga 40 minit boleh mencecah hampir dua jam disebabkan lautan kenderaan atas jalan. Keadaan menjadi lebih parah jika hujan, banjir atau pokok tumbang.

Masalah kesesakan lalu lintas terutama di Lembah Klang bukan isu baharu. Ia berlarutan sudah lama, tetapi makin parah sejak akhir-akhir ini.

Bukan semua pekerja boleh memilih pengangkutan awam seperti tren sebagai alternatif ke tempat kerja. Ada yang tinggal jauh dari stesen, bekerja syif selain faktor cuaca.

Pengumuman kerajaan untuk melaksanakan work from home (WFH) atau bekerja dari rumah kepada penjawat awam kecuali sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan dan pendidikan berkuat kuasa pada 15 April ini sedikit melegakan penulis.

Ia terpakai untuk penjawat awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan semua ibu negeri bagi jarak perjalanan sehala melebihi lapan kilometer dari pejabat ke rumah.
Inisiatif selama tiga hari seminggu itu dilaksanakan susulan konflik di Asia Barat yang nampaknya seperti belum ada cahaya di hujung terowong.

Kali pertama WFH diperkenalkan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ketika negara dilanda koronavirus pada Mac 2020 bertujuan mengekang penularan Covid-19. Ia dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara.

Bagi penulis, dalam keadaan sekarang bekerja secara hibrid bukan lagi pilihan ketika situasi mendesak seperti perang sebagai langkah untuk mengurangkan kos penggunaan bahan api.

Dasar WFH perlu dinilai semula kerana ia dapat mengurangkan kesesakan jalan raya. Sama ada ia membantu atau tidak, sama-sama kita lihat nanti.

Nota kaki: Dunia kewartawanan kehilangan figura hebat Datuk Karam Singh Walia kelmarin yang terkenal dengan peribahasa tajam setiap kali bersiaran di TV3. Bak kata pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN