fbpx

i-Sinar – adakah anda biru atau oren?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
JAMDI NASIR,TIMBALAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

KELIHATANNYA isu i-Sinar masih kekal trending di media-media sosial apabila sebahagian pemohon masih menunggu kelulusan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Isu itu agak hangat akhir tahun lalu apabila kerajaan mengenakan syarat terhadap pengeluaran khas wang tersebut berbeza dengan pengumuman semasa pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Seperti sedia maklum, syarat pengeluaran itu dibahagikan kepada kategori 1 dan kategori 2.

Dilaporkan 4.8 juta individu dalam kalangan kategori 1 membuat permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 3.18 juta telah pun diluluskan dengan agihan wang kira-kira RM13 bilion. Sebanyak 1.4 juta pula melibatkan permohonan bagi kategori 2.

Diharapkan kepada mereka yang menerima wang simpanan hari tua itu menggunakan dengan sebaik mungkin ketika banyak pihak terpaksa mengharungi tempoh sukar akibat pandemik Covid-19 ini.

Rata-rata mereka yang menerima mesej ‘lulus’ berwarna biru itu keriangan dengan sebilangan merakam rasa syukur dapat melangsaikan hutang tertunggak, dijadikan modal berniaga dan menyimpan untuk keperluan yang mungkin lebih mendesak pada hari esok.

Bagaimanapun, ada sebilangan lagi pemohon melampiaskan rasa kecewa selepas menerima mesej berwarna oren menyatakan dokumen mereka tidak lengkap dan memerlukan dokumen sokongan.

Penulis sendiri menemui banyak luahan daripada pemohon yang tidak diluluskan dengan menyatakan bahawa mereka memang benar-benar terkesan akibat wabak yang melanda tetapi amat sukar untuk membuktikan dalam bentuk dokumen.

Malah, ada yang melahirkan rasa hairan apabila pegawai bertaraf T20 di tempat dia bekerja diluluskan permohonan sedangkan dia sendiri dalam kategori B40 tidak berjaya meskipun secara realiti kehidupannya lebih terhimpit.

Untuk menyalahkan pihak KWSP rasanya juga tidak adil kerana kakitangan agensi tersebut tidak mungkin mampu meneliti dan menguruskan berjuta permohonan dalam masa yang singkat.

Oleh itu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih terpaksa dilanjutkan ini, sekali gus menyebabkan proses pemulihan ekonomi terus perlahan dan dikhuatiri akan lebih banyak pihak terkesan dan terhimpit, adalah wajar pihak KWSP mengambil langkah pilihan membantu pencarum yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.

Mungkin jika tidak dapat membuktikan kehilangan 30 peratus pendapatan, mereka boleh menyertakan bukti tunggakan hutang yang banyak atau lain-lain dokumen bahawa kehidupan masa kini benar-benar tertekan.

Semoga masih ada sinar kepada pemohon terlibat. Apa yang penting semua pihak perlu bersabar dengan dugaan dan cabaran yang dihadapi ketika wabak pandemik yang entah bila akan berakhir ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI