fbpx

42 banduan dua penjara di Kelantan positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaini (kiri) meninjau keadaan PKRC di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu hari ini

KOTA BHARU – Seramai 42 orang banduan yang menjalani hukuman di dua buah penjara di Kelantan disahkan positif Covid-19 dalam tempoh tiga minggu bermula awal tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 33 banduan dari penjara Pengkalan Chepa di sini manakala sembilan lagi dari Pusat Pemulihan Akhlak di Machang disahkan positif wabak tersebut.

Katanya, penularan kes Covid-19 dalam penjara dipercayai berpunca dalam kalangan orang kena tahan (OKT) yang ditahan selain daripada ada anggota polis yang turut bergejala.

“Kita sedang berbincang dengan pihak penjara untuk mewujudkan sebuah pusat transit di Batu Jong, Kuala Krai bagi menempatkan OKT sebelum mereka dihantar ke penjara. Pusat itu akan dibuka dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, semua banduan yang disahkan positif akan ditempatkan di sebuah tempat khas di penjara yang dipantau oleh pihak hospital dalam usaha untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan banduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Tautan Kasih Pusat Kuarantin Rawatan Covid -19 (PKRC) Kelantan, Musaadah Covid-19 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Dalam program itu, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Kelantan, Mahadi Awang turut menyerahkan sumbangan makanan dan kelengkapan solat kepada Jabatan Kesihatan Kelantan.

Mengulas lanjut, menurut Zaini, pusat transit di Batu Jong itu akan menempatkan banduan-banduan sehingga pulih sepenuhnya sebelum dihantar semula ke penjara.

Katanya, Jabatan Kesihatan akan memastikan banduan yang positif bebas sepenuhnya daripada sebarang gejala bagi mengelak jangkitan kepada banduan lain.

Dalam perkembangan lain, ujarnya, tiada kluster baharu Covid-19 dikesan di Kelantan dan hanya kluster sedia ada yang bertambah bilangan pesakit Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI