fbpx
Juventus berjaya menewaskan Napoli 2-0 untuk merangkul Piala Super Itali awal pagi semalam. – AFP

Ronaldo cipta rekod julang Juventus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REGGIO EMILIA, Itali – Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah dunia baharu buat diri sendiri selepas meledak satu gol membantu pasukannya menjulang gelaran Piala Super Itali menewaskan Napoli 2-0 di Stadium Mapei awal pagi sema­lam.

Gol tersebut mengesahkan Ronaldo sebagai pemain paling banyak menjaringkan gol bersama kelab dan negara dalam perlawanan rasmi dengan ke­seluruhan 760 jaringan sejak memulakan karier profesional dengan Sporting Lisbon pada 2002.

Ia sekali gus memintas peme­gang rekod terdahulu iaitu Josef Bican yang meledak 759 gol rasmi sepanjang kariernya dari 1931 hingga 1955.

Pemenang lima gelaran Ballon d’Or itu yang akan genap usia 36 tahun pada 5 Februari ini, memecahkan rekod tersebut menerusi rembatan padu dari jarak dekat untuk membuka tirai jari­ngan buat Juventus ke atas Napoli pada minit ke-64.

“Saya sebenarnya lebih gembira kerana berjaya membantu Juventus menjulang kejuaraan ini kerana ia bukan mudah apabila menentang Napoli selain terpaksa beraksi atas padang yang agak teruk.

“Kami bangkit dengan pres­tasi lebih bagus selepas tewas kepada Inter (Milan). Saya harap kejayaan ini dapat meningkatkan keyakinan kami untuk terus memburu lebih banyak kejua­raan pada masa depan,” kata Ro­naldo.

Selain Ronaldo, gol kedua Juventus dijaringkan Alvaro Mora­ta pada minit ke-95 sekali gus menghadiahkan trofi pertama buat Andrea Pirlo yang dilantik mengendalikan pasukan itu menggantikan tempat Maurizio Sarri awal musim ini. – AGENSI