DALLAS – Cristiano Ronaldo akhirnya mengesahkan kempen Piala Dunia 2026 adalah penampilan terakhirnya di pentas bola sepak paling berprestij dunia, sekali gus menamatkan segala teka-teki mengenai masa depan karier antarabangsanya.
Kapten Portugal berusia 41 tahun itu membuat penampilan keenam di Piala Dunia itu membuat kenyataan tersebut pada penghujung sidang media menjelang aksi pusingan suku akhir, sambil menegaskan beliau akan meninggalkan kejohanan itu dengan hati yang tenang tanpa mengira apa jua keputusan yang diraih pasukannya.
“Biarlah ini menjadi Piala Dunia terakhir saya. Ya (saya sahkan) ini adalah Piala Dunia terakhir saya,” katanya.
Sebagai rekod, bekas penyerang Real Madrid tersebut enggan mengesahkan sama ada edisi kali ini merupakan penampilan terakhirnya, memandangkan beliau bakal berusia 45 tahun ketika Piala Dunia 2030 berlangsung.
Bagaimanapun, Ronaldo menegaskan keputusan untuk bersara sepenuhnya daripada arena bola sepak masih belum diputuskan dan hanya akan dibuat mengikut naluri hati sendiri.
“Saya akan menamatkan karier apabila jiwa saya sendiri membuat keputusan. Anda semua sentiasa bertanya soalan yang sama, adakah ini yang terakhir?
“Kita lihat nanti. Saya tidak mahu memberikan tumpuan kepada perkara itu, tidak kira apa yang berlaku selepas ini, saya hanya akan meninggalkan pentas ini dengan hati yang benar-benar tenang.
“Apa yang pasti, saya telah memberikan segala yang saya mampu kepada bola sepak. Saya bermain selama ini kerana minat, bukannya kerana keperluan.
“Syukur, kehidupan saya sudah cukup baik, tetapi saya terus bermain kerana saya cintakan bola sepak dan saya amat bangga mewakili skuad kebangsaan,” katanya. – AGENSI














