fbpx
Farra nekad bangkit bersama suaminya selepas perniagaan makanan yang diusahakan sebelum ini merudum rentetan pademikm Covid-19.

Covid-19 ubah arah bisnes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNIAGAAN berasaskan makanan dan minuman (F&B) yang diusahakan sepasang suami isteri sejak lima tahun lalu boleh dikatakan begitu memberangsangkan.

Manakan tidak, perusahaan bakeri seperti donat bomboloni yang dihasilkan mampu diedarkan hampir di seluruh pelosok Lembah Klang.

Lebih membanggakan, kiosk untuk menjual kuih-muih dan makanan pastri berasaskan tepung itu turut dibuka di pusat beli-belah Subang Parade di Selangor dalam usaha menampung permintaan tinggi pelanggan.

Pengusaha dan pengasas syarikat, Farrahan Signature Empire, Farra Rahim dan suaminya, Hanz Muhamad, 30, pada masa itu mampu menarik nafas lega akan hasil keuntungan perniagaan yang diusahakan.

Tahun bersilih ganti, permintaan terhadap produk makanan berasaskan kuih-muih yang dihasilkan semakin mendapat perhatian dan tumpuan.

Sewaktu itu, segala usaha dan penat lelah mereka berdua dibalas dengan tuaian hasil keuntungan berlipat kali ganda yang dikurniakan.

Benar kata orang, setiap perniagaan pasti ada turun naik. Ada kalanya kita di atas dan ada ketikanya berada di bawah. Itulah adat perniagaan. Tidak terkecuali perniagaan yang diceburi mereka berdua.

“Tahun 2020 menjadi igauan dan mimpi ngeri bagi saya dan suami. Manakan tidak, selama ini perniagaan yang dihasilkan sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan.

“Pesanan dan tempahan yang dibuat juga kadang-kala membuatkan kami tidak lepas tangan lebih-lebih lagi ia dihasilkan secara homemade tanpa menggunakan sebarang teknologi canggih,” ungkap Farra tatkaka membuka bicara bersama Aura.

Tambah anak sulung daripada empat beradik itu, sejak pandemik Covid-19 hadir tanpa diundang di muka bumi ini, perniagaan yang diusahakan bersama suami sejak 2016 lama kelamaan menjadi suram.

Ujarnya, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bermula Mac tahun lalu, sektor F&B sepertinya turut terkesan dan terjejas teruk.

“Pusat beli-belah banyak tutup, orang ramai tidak boleh keluar berjalan-jalan, pesanan dan tawaran juga mula berkurangan dan ada juga yang membatalkan saat akhir.

“Sewa kiosk tetap kena bayar seperti biasa walaupun pengunjung tiada. Kalau dulu susun kuih-muih dalam bekas, tidak sampai tiga jam sudah habis, bermula PKP kadang-kadang sampai malam pun masih ada baki,” tuturnya yang mengatakan terpaksa menutup kiosk tersebut rentetan tidak mampu membayar sewa bulanan.

 

SOKONGAN berterusan daripada pasukan FASE Kuala Lumpur mendorong Farra (kiri) untuk terus menggapai kejayaan dalam perniagaan produk kesihatan dan kecantikan yang diusahakan pada masa ini.

Akui anak jati kelahiran Shah Alam, Selangor itu, dek kerana terlalu selesa dengan nikmat dan kurniaan Allah sewaktu berniaga dahulu, dia dan suami seakan-akan lupa akan perancangan masa hadapan.

“Jujur sewaktu berniaga dahulu, kami rasa sudah terlalu selesa dan yakin perniagaan yang diusahakan mampu bertahan lama.

“Sampaikan masa pun tiada. Dari pagi hingga ke malam masing-masing sibuk menguruskan perniagaan dan keluarga. Lepas sudah jadi begini (Covid), masing-masing mula gelabah dan bagai hilang hala tuju,” katanya.

Tidak mahu terus berduka dan merintih mengenangkan nasib, Farra dan suami nekad menggunakan sedikit wang hasil simpanan perniagaan mereka untuk membuka satu perniagaan berasaskan penjagaan kulit wajah.

Jelas Farra, perancangan dan idea untuk mengeluarkan produk berasaskan kesihatan dan kecantikan sudah lama difikirkan namun dek kerana kesibukan dan fokus terhadap perniagaan terdahulu, ia terpaksa dilanjutkan.

Katanya, fokus terhadap kajian dan pembangunan produk mula dilakukan sejak Mei hingga Jun tahun lalu sewaktu negara sedang bergelut memerangi wabak Covid-19.

“Alhamdulillah segala perancangan menjadi dan untuk yang terawal kami berjaya melahirkan tiga barisan produk di bawah label FASE Kuala Lumpur iaitu facial cleanser, intensive facial essence dan pinkish nutritious creme yang mempunyai manfaat serta kelebihan tersendiri.

“Pada masa sama, kami juga bersyukur dapat melantik tiga orang duta merangkap jurucakap bagi ketiga-tiga barisan produk penjagaan wajah ini,” katanya yang memberitahu kesemua produk tersebut boleh didapati secara dalam talian sejak dilancarkan dan menemui pengguna 25 Disember lalu.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Farra dan suami serta seorang lagi pengasas bersama, Ruzaini menyasarkan untuk melebar luas perniagaan sekali gus menembusi pasaran luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Thailand di samping mengukuhkan pasaran domestik.

FASE Kuala Lumpur turut membuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk mendaftar sebagai ahli terutama dalam kalangan suri rumah dan pelajar untuk menjana pendapatan bersama syarikat kendalian mereka.

Untuk keterangan dan maklumat lanjut, layari Facebook FASE KUALA LUMPUR HQ atau menerusi Instagram @fasekualalumpur serta emel ke [email protected] – K! ONLINE