KUALA LUMPUR – Seorang guru wanita dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelakinya, berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar melepas dan membebaskan tertuduh berusia 32 tahun itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
“Pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan dalam kes ini. Oleh demikian tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu guru didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia 15 tahun tiga bulan (umur waktu kejadian) di dalam kereta di tepi jalan sebuah kawasan di sini pukul 8 malam pada 23 Jun 2023.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen 16(1) akta sama, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan hukuman tidak kurang dua sebatan.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama dalam sebuah kereta di sebuah perhentian bas pukul 9 malam pada tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 14(b) akta sama yang membawa hukuman penjara tempoh sama dan boleh juga dihukum sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin manakala tertuduh diwakili peguam Fadhli Sutris dan Datuk Ishak Mohd Yusof. – KOSMO! ONLINE














