JOHOR BAHRU – Kelewatan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menempatkan pelarian terutama etnik Rohingya ke negara ketiga dikenal pasti antara punca utama berlakunya lambakan golongan itu di Malaysia ketika ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah pelarian yang berjaya ditempatkan semula ke negara ketiga jauh lebih kecil berbanding jumlah pemegang kad yang didaftarkan oleh UNHCR.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan ramai pelarian terus berada di negara ini dalam tempoh yang panjang sementara menunggu proses penempatan semula.
“Pelarian tidak sama dengan pendatang asing tanpa izin. Mereka berada dalam kategori berbeza kerana wujud faktor penolak di negara asal mereka yang berdepan konflik dan faktor penarik di negara kita.
“Dalam ekosistem pengurusan pelarian, UNHCR bertanggungjawab menguruskan penempatan mereka ke negara ketiga. Masalahnya, kejayaan penempatan semula jauh lebih kecil berbanding jumlah kad yang dikeluarkan.
“Akibatnya, sementara menunggu penempatan itu berlaku, mereka berada dalam masyarakat kita. Itulah fenomena yang sedang kita hadapi sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wangsa, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan seramai 128,200 pelarian etnik Rohingya berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat April lalu.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 219,472 pemegang kad UNHCR di negara ini, dengan 197,591 daripadanya merupakan warga Myanmar.
Bagaimanapun, jumlah sebenar pelarian Rohingya dipercayai lebih tinggi memandangkan masih terdapat sebahagian daripada mereka yang belum berdaftar dengan agensi berkenaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan proses pengumpulan data berkaitan pelarian bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
Katanya, kerajaan juga mengambil pendekatan seimbang dengan mempertimbangkan aspek keselamatan dan kemanusiaan dalam menguruskan isu berkenaan. – KOSMO! ONLINE














